Pengambilalihan melepaskan kerajaan daripada beban kewangan tinggi

Kurangkan beban hutang kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, pengambilalihan empat konsesi lebuh raya oleh syarikat swasta, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) akan membuka lembaran baharu kepada ekonomi negara.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengambilalihan itu akan melepaskan kerajaan daripada beban kewangan yang tinggi dan berterusan.

“Itu amat membantu terutamanya pada waktu ini apabila hutang kerajaan terus naik kerana dasar polisi fiskal mengembang semata-mata untuk memulihkan ekonomi negara selepas dua tahun dilanda kemelesetan.

“Bagaimanapun, apabila kerajaan melepaskan konsesi itu kepada syarikat bukan milik kerajaan (GLC), maka kerajaan telah kehilangan kawalan kepada aset strategik negara, terutamanya dari segi operasinya.

“Tiada lagi campur tangan dari kerajaan atau arahan seperti visi membangunkan vendor-vendor perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan kerana ia tertakluk kepada ALR sebagai pemilik.

“Sebarang agenda untuk mengembangkan jaringan lebuh raya-lebuh raya terbabit di masa depan juga memerlukan kelulusan ALR yang perlu menilai sekiranya ia akan menyebabkan kerugian kepadanya, walaupun kerajaan mempunyai tanggungjawab sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai kebaikan pengambilalihan itu bagi ALR, Aimi Zulhazmi berkata, syarikat swasta itu akan membuka peluang-peluang ekonomi dengan lebih mudah terutamanya dalam sektor hartanah, runcit dan pelancongan di sepanjang lebuh raya yang boleh memberikan keuntungan berlipat ganda tanpa perlu bergantung kepada kutipan tol.

“Jika sebelum ini ia tidak dapat mencapai potensi ekonomi yang sebenar atas dasar-dasar yang rigid dahulu, kini ia lebih fleksibel dan inovatif,” katanya.

Kelmarin, ALR menawarkan untuk membeli 100 peratus kesemua empat syarikat konsesi, susulan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya di sekitar Lembah Klang.

Empat syarikat tersebut adalah Kesas Sdn. Bhd.(Kesas), Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd. (Sprint) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (Smart).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, syarikat swasta itu dipengerusikan oleh Tan Sri Alan Mohd Zainol, yang mana kesemua pemegang saham syarikat tersebut tidak berasaskan keuntungan (not for profit).

Menurut beliau, penstrukturan semula menerusi kaedah itu menyaksikan tiada lagi pemegang saham dalam apa juga bentuk seperti dividen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN