OTTAWA: Kanada akan melarang kebanyakan warga asing daripada membeli rumah selama dua tahun dan menyediakan berbilion dolar untuk merangsangkan aktiviti pembinaan dalam usaha menenangkan pasaran hartanah yang sedang melonjak.
Langkah itu akan terkandung dalam pembentangan belanjawan Menteri Kewangan, Chrystia Freeland pada Khamis, menurut sumber yang tidak mahu dikenali.
Tindakan itu memberi isyarat bahawa Perdana Menteri, Justin Trudeau akan menjadi lebih tegas untuk `menjinakkan’ salah satu pasaran perumahan maju paling mahal di dunia, dan kerajaan semakin bimbang akan tindak balas politik terhadap inflasi dan peningkatan kos rumah.
Lapor Reuters, harga rumah di Kanada telah melonjak lebih 50 peratus sejak dua tahun lalu.
Pasaran menyaksikan peningkatan rekod bulanan pada Februari apabila pembeli bertindak mendahului kenaikan kadar oleh Bank of Canada, menjadikan harga penanda aras rumah kepada AS$693,000 (RM2.9 juta).
“Larangan pembeli asing bagaimanapun tidak akan dikenakan kepada pelajar, pekerja asing atau warga asing yang merupakan pemastautin tetap Kanada.
“Beberapa billion dolar dalam bajet Freeland akan diperuntukkan untuk membina rumah mampu milik dan untuk membantu kerajaan tempatan mengemas kini sistem mereka bagi membolehkan pembinaan hartanah baharu dengan lebih pantas,” jelas sumber itu.
Namun, kerajaan merancang langkah lain yang berpotensi untuk meningkatkan permintaan, membantu pembeli rumah baharu.
Freeland akan memperkenalkan undang-undang yang membenarkan warga Kanada di bawah umur 40 tahun untuk berjimat sebanyak AS$31,900 (RM134,563) bagi bayaran pendahuluan rumah dan pengecualian cukai kenderaan baharu.
Selain itu, semasa kempen pilihan raya tahun lalu, parti Trudeau turut mencadangkan larangan pembidaan `buta’ atau sulit untuk rumah, sistem di mana tawaran dirahsiakan apabila seseorang melelong rumah.
Pembidaan `buta’ dikatakan telah mempercepatkan kenaikan harga dalam pasaran yang hangat, dengan hartanah kadangkala dijual dengan harga ratusan ribu dolar berbanding harga yang diminta.
Sesetengah pihak percaya bahawa pembidaan sulit memaksa bakal pembeli untuk menawarkan harga setinggi mana yang mereka boleh. – AGENSI










