Jualan perdagangan borong dan runcit berjumlah RM117.2 bilion

Jualan perdagangan borong & runcit meningkat 8.5 peratus kepada RM117.2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan jualan perdagangan borong dan runcit berjumlah RM117.2 bilion pada Februari lalu, meningkat 8.5 peratus tahun ke tahun, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Runcit dengan peningkatan sebanyak RM4.5 bilion atau 10.2 peratus untuk mencatatkan
RM48.8 bilion.

Kata beliau, Perdagangan Borong juga berkembang dengan 6.2 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM55.9 bilion, sementara Kenderaan Bermotor melonjak 12.5 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM12.5 bilion.

“Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit menurun 2.5 peratus, disebabkan oleh subsektor Perdagangan Borong yang menguncup 4.7 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, mengikut subsektor, pertumbuhan subsektor Perdagangan Runcit sebanyak 10.2 peratus pada Februari 2022 disokong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang meningkat 15.9 peratus atau RM2.5 bilion kepada RM18.3 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor itu katanya, turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan sebanyak 18.1 peratus, Jualan Runcit Barangan Isi Rumah (9.8 peratus), Jualan Runcit di Kedai Pengkhususan (5.6 peratus), Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau (8.6 peratus), Jualan Runcit Barangan Kesenian & Rekreasi (5.7 peratus), Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar (25.9 peratus) dan Jualan Runcit di Gerai & Pasar (8.8 peratus).

Bagi perbandingan bulanan, nilai jualan subsektor ini merosot 0.4 peratus, jelasnya.

Mengenai subsektor Perdagangan Borong, kenaikan kenaikan 6.2 peratus disumbangkan oleh Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong yang mencatatkan RM22.3 billion, meningkat 6.0 peratus atau RM1.2 bilion.

“Bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, Perdagangan Borong menurun 4.7 peratus disebabkan oleh Jualan Borong Barangan Isi Rumah yang jatuh sebanyak 8.2 peratus,” tambah beliau.

Mohd. Uzir turut menerangkan bahawa pertumbuhan 12.5 peratus dalam subsektor Kenderaan Bermotor bagi tempoh dilaporkan, disumbangkan oleh Jualan Alat Ganti & Aksesori Kenderaan Bermotor yang melonjak 27.0 peratus atau RM0.7 bilion kepada RM3.5 bilion.

Bagi indeks volum, Perdagangan Borong & Runcit pada Februari 2022 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.8 peratus.

“Pengembangan itu disumbangkan oleh Kenderaan Bermotor yang meningkat 9.4 peratus. Perdagangan Runcit & Perdagangan Borong juga merekodkan pertumbuhan positif dengan peningkatan masing-masing 5.4 peratus dan 0.4 peratus. Bagi indeks volum pelarasan musim, ia naik 4.9 peratus bulan ke bulan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN