PETALING JAYA: Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) perlu menjelaskan tempoh lanjutan konsesi secepat mungkin kepada rakyat demi ketelusan dan tadbir urus yang baik, menurut penganalisis ekonomi.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ALR bersifat ‘kenderaan’ yang akan dibiayai oleh sukuk, bagaimanapun, percaturan sukuk itu masih agak kabur.
“ALR digambarkan sebagai agensi yang tidak mementingkan keuntungan semata dan ia bersetuju untuk tidak meningkatkan tol sehingga tamat konsesi, namun ada satu perkara yang perlu diperjelaskan kepada rakyat demi ketelusan dan tadbir urus yang baik.
“ALR dikatakan akan menerima lanjutan tempoh konsesi sebagai balasan kepada janji dan komitmen untuk tidak menaikkan tol. Bagaimanapun, tempoh konsesi tidak diperjelaskan sekarang.
“Ia hanya akan diumumkan setelah kajian lanjut dijalankan mengambil kira laluan dan kiraan trafik di lebuhraya-lebuhraya tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai sukuk yang bakal diterbitkan oleh ALR, Baharom berkata, pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) tidak akan mengalami sebarang kerugian kerana pelaburan mereka akan dikembalikan lebih awal, hasil daripada pembiayaan yang diraih daripada sukuk tersebut.
Ujarnya, mereka juga berkemungkinan akan kembali sebagai pelanggan sukuk memandangkan ia akan memberikan pulangan yang agak stabil dan lestari untuk jangka panjang.
Baharom bagaimanapun berpendapat, adalah lebih baik sekiranya sukuk itu direka dan dilaksana sebagai sukuk runcit iaitu pada denominasi yang kecil dan rakyat dapat melanggan dan merasa tanggungjawab serta kepuasan menyumbang kembali kepada negara.
Namun katanya, konsep sukuk runcit masih belum dapat diterima di negara ini buat masa sekarang.
“Bagaimanapun, terdapat satu kemusykilan yang bermain di dalam kepala saya dan mungkin penganalisis-penganalisis lain.
“Kementerian Kerja Raya telah mengatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan memberi jaminan kepada sukuk terbabit.
“Itu sedikit sebanyak akan menjejaskan permintaan sukuk itu dan mungkin akan menjejaskan langganan,” katanya.
Baru-baru ini, ALR, syarikat swasta yang mengemukakan tawaran untuk mengambil alih empat pengendali konsesi lebuh raya pada harga kira-kira RM5.5 bilion akan menjana dana yang diperlukan bagi memuktamadkan pembelian itu menerusi terbitan sukuk, menurut penganalisis.
ALR akan menerbitkan kira-kira RM5.5 bilion sukuk yang tidak dijamin kerajaan untuk mengumpul dana bagi membeli semua ekuiti dan hutang lebuh raya Kesas, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sprint dan Smart Tunnel.
Sukuk tersebut akan dicagarkan oleh kutipan tol masa depan. – UTUSAN










