PETALING JAYA: Indeks Pelopor (IP) negara mencatatkan prestasi negatif 0.5 peratus, menandakan momentum pertumbuhan dalam tempoh terdekat perlahan, meskipun ekonomi sedang pulih, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, IP tahunan menunjukkan prestasi yang lebih perlahan iaitu negatif 0.5 peratus pada Februari 2022.
Kata beliau, ia dipengaruhi oleh sentimen pelabur yang berhati-hati terhadap pasaran saham yang dicerminkan oleh trend menurun Indeks Perusahaan Bursa Malaysia, disebabkan oleh Indeks Penjagaan Kesihatan dan Indeks Utiliti pada bulan tersebut.
“Walau bagaimanapun, dari perspektif hala tuju, trend yang lebih baik dilihat pada IP dengan mencapai 110.8 mata pada Februari 2022 daripada 110.2 mata yang direkodkan pada Januari 2022.
“IP bulan ke bulan meningkat kepada 0.5 peratus pada bulan rujukan (Januari 2022: -1.1%), terutamanya disokong oleh sumbangan ketara daripada Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus lain (0.6%), Import Benar Semi Konduktor (0.4%) dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.2%),” katanya dalam kenyataan sempena Laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan Februari 2022.
Mohd. Uzir berkata, kadar pertumbuhan IP terlicin adalah konsisten di atas trend, menunjukkan ekonomi Malaysia terus berada di landasan pemulihan walaupun momentum pertumbuhan akan perlahan dalam tempoh terdekat.
“Krisis antarabangsa yang sedang berlaku memberikan tekanan lanjut ke atas pertumbuhan ekonomi global melalui perdagangan, inflasi dan pasaran kewangan, seterusnya boleh mengganggu prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia,” jelas beliau.
Berkaitan dengan perspektif ekonomi semasa, beliau berkata, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan dengan berkembang 6.4 peratus kepada 120.4 mata pada Februari 2022 berbanding 113.2 mata bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, melihat kepada prestasi bulanan, IS meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 2.6 peratus pada Februari 2022 berbanding 2.5 peratus pada bulan sebelumnya.
“Pertumbuhan ini dirangsang terutamanya oleh peningkatan dalam Kapasiti Penggunaan di sektor Pembuatan (0.9%) dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.9%),” katanya. – UTUSAN










