WELLINGTON: Indeks harga pengguna tahunan (CPI) New Zealand mencecah paras tertinggi dalam tiga dekad pasa suku pertama, menggariskan pendirian agresif bank pusat negara itu untuk membendung tekanan harga yang sedang `menggelegak’ dalam ekonomi.
Inflasi tahunan meningkat 6.0 peratus daripada 5.9 peratus pada suku sebelumnya, kadar terpantas sejak peningkatan tahunan 7.6 peratus hingga suku Jun pada 1990, menurut agensi Statistik New Zealand pada Khamis.
CPI meningkat 1.8 peratus pada suku berakhir Mac daripada kenaikan 1.4 peratus pada suku keempat.
Namun, lapor Reuters, data itu berada di bawah jangkaan ahli ekonomi dalam tinjauan Reuters untuk kenaikan 2.0 peratus pada suku tersebut dengan kenaikan tahunan sebanyak 7.1 peratus.
Statistik New Zealand memberitahu, kenaikan harga untuk makanan, pembinaan dan perumahan mendorong lonjakan inflasi.
“Harga untuk pembinaan kediaman baharu meningkat 18 peratus pada suku Mac 2022 berbanding suku Mac 2021, peningkatan terbesar yang dicatatkan sejak siri itu bermula pada 1985,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Harga Kanan, Aaron Beck berkata, firma pembinaan telah mengalami banyak isu rantaian bekalan, kos buruh yang lebih tinggi dan juga permintaan yang lebih tinggi, yang telah meningkatkan kos pembinaan rumah baharu.
Dolar kiwi susut 0.4 peratus kepada AS$0.6772 (RM2.90), daripada AS$0.6804 (RM2.92). Kadar penukaran dua tahun merosot sebanyak enam mata asas kepada 3.52 peratus apabila pasaran mempertimbangkan semula peluang kenaikan kadar sebanyak setengah mata lagi.
Reserve Bank of New Zealand yang bermesyuarat pada minggu lalu, telah menyuarakan kebimbangan mengenai jangkaan inflasi di New Zealand dan keperluan untuk mengatasinya.
Bank pusat itu telah meningkatkan kadar tunai pada empat mesyuarat berturu-turut dan memberi petanda bahawa akan ada peningkatan lagi pada suku tahun akan datang. – AGENSI










