PETALING JAYA: Peperangan di Ukraine boleh mengekalkan harga makanan dan tenaga pada paras tertinggi dalam sejarah sehingga akhir 2024, menurut laporan Tinjauan Pasaran Komoditi Bank Dunia terkini.
Dalam laporan tersebut, Bank Dunia memaklumkan kenaikan harga tenaga sejak dua tahun lalu merupakan yang terbesar sejak krisis minyak 1973.
Selain itu, kenaikan harga untuk komoditi makanan yang membabitkan Russia dan Ukraine sebagai pengeluar terbesar dan baja, yang bergantung kepada gas asli sebagai input pengeluaran, adalah yang terbesar sejak 2008.
Naib Presiden Bank Dunia bagi Pertumbuhan Saksama, Kewangan dan Institusi Indermit Gill berkata, secara keseluruhan, keadaan itu merupakan kejutan terbesar yang pernah dialami sejak 70-an.
“Seperti yang berlaku ketika itu, kejutan diburukkan lagi dengan lonjakan dalam sekatan dalam perdagangan makanan, bahan api dan baja,” katanya.
Gill berkata, perkembangan itu telah mula menimbulkan kebimbangan ‘stagflasi.’
“Penggubal dasar harus mengambil setiap peluang untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi di dalam negeri dan mengelakkan tindakan yang akan membawa kemudaratan kepada ekonomi global,” ujarnya.
Bank Dunia berkata, harga tenaga dijangka meningkat lebih 50 peratus tahun ini sebelum turun pada 2023 dan 2024.
“Harga bukan tenaga, termasuk pertanian dan logam, diunjurkan meningkat hampir 20 peratus pada 2022 dan juga akan menjadi sederhana pada tahun-tahun berikutnya.
“Namun begitu, harga komoditi dijangka kekal jauh melebihi purata lima tahun terkini,” jelasnya.
Tambah bank itu, sekiranya berlaku perang yang berpanjangan atau sekatan tambahan ke atas Rusia, harga boleh menjadi lebih tinggi dan lebih tidak menentu daripada yang diunjurkan pada masa ini.
Disebabkan gangguan perdagangan dan pengeluaran berkaitan perang, harga minyak mentah Brent dijangka purata AS$100 (RM435.85) setong pada 2022, paras tertinggi sejak 2013 dan meningkat lebih 40 peratus berbanding 2021.
Harga dijangka menyederhana kepada AS$92 (RM400.98) pada 2023, jauh melebihi purata lima tahun AS$60 (RM261.51) setong.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan Prospek Bank Dunia, Ayhan Kose memberitahu, pasaran komoditi mengalami satu kejutan bekalan terbesar dalam beberapa dekad kerana perang di Ukraine.
“Kenaikan harga makanan dan tenaga memberi kesan ketara dalam ekonomi dan ia berkemungkinan akan menghalang kemajuan bagi mengurangkan kemiskinan.
“Harga komoditi yang lebih tinggi memburukkan lagi tekanan inflasi yang sudah meningkat di seluruh dunia,” kata Kose. – AGENSI










