PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) berharap, fasa peralihan ke endemik berupaya membantu dan menyokong semula pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran pengeluaran one-off Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Bantuan Khas Kewangan pula akan memberi kelegaan kepada aliran tunai rakyat.
Beliau berkata, pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu juga membuka peluang kepada ekonomi negara untuk bangkit semula, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan semua.
“Dengan dasar-dasar positif kerajaan, Keluarga Malaysia akan bangkit semula, lebih gagah dan lebih berdaya saing berbanding dahulu.
“Bank Dunia dan Moody’s mempamerkan keyakinan kepada prospek pertumbuhan Malaysia tahun ini dengan masing-masing mengunjurkan pertumbuhan 5.5 peratus dan 6 peratus bagi tahun 2022.
“Unjuran ini sejajar dengan unjuran Bank Negara Malaysia antara 5.3 hingga 6.3 peratus,” katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-91, hari ini.
Katanya, Malaysia yang memiliki kemampuan eksport yang pelbagai seperti elektronik termasuk minyak dan gas akan berada dalam kitaran yang cukup mantap.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul menasihatkan ibu bapa supaya merebut segera rebat menerusi penebusan pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak menerusi Program Subsidi CRS.
“Program Subsidi CRS adalah inisiatif pemberian subsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian CRS melibatkan 188,000 penerima B40.
“Inisiatif dengan peruntukan RM30 juta yang diumumkan menerusi Bajet 2022 itu satu langkah bagi meringankan beban golongan B40 bagi membeli CRS,” katanya.
Katanya, permohonan bagi mendapatkan subsidi ini boleh dibuat mulai 1 Mac 2022 sehingga 30 September 2022 secara dalam talian.
Maklumat lanjut boleh layari https://www.miros.gov.my/xs/page.php?s=crs-product dan https://www.miros.gov.my/xs/page.php?id=1129&k=subsidi%20crs. – UTUSAN










