ECERDC optimis capai sasaran pelaburan sebanyak RM1.8 bilion

ECERDC optimis capai sasaran pelaburan RM1.8 bilion di Kelantan

kelantan dijangka mengalami pertumbuhan lebih pesat hasil pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh ECERDC dalam menarik pelabur ke negeri itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) optimis mencapai sasaran pelaburan lebih tinggi iaitu sebanyak RM1.8 bilion bagi negeri Kelantan pada 2022.

Pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih daripada 1,200 pekerjaan baharu dan lebih 300 peluang keusahawanan.

Sehingga 31 Mac 2022, ECERDC telah pun menarik pelaburan komited berjumlah RM990 juta ke negeri Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai lebih-lebih lagi dengan adanya pakej insentif cukai khas Kelantan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Di bawah Insentif Khas Kelantan, pelabur yang layak akan menikmati 100 peratus pengecualian cukai pendapatan selama 15 tahun dengan lanjutan lima tahun lagi pada kadar istimewa 17 peratus.

“Bagi pekerja bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan, mereka hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15 peratus sebagai insentif tambahan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Kelantan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, di bawah pelan transformasi Tok Bali, Baidzawi berkata, ECERDC akan memanjangkan dan menaik taraf jeti pendaratan ikan sedia ada bagi membolehkan kapal moden berlabuh bersama bot nelayan tradisional.

Ia akan meningkatkan lagi pertumbuhan aktiviti hiliran di kawasan tersebut seperti pemprosesan ikan, ikan beku dan otoshimi, katanya.

Kelmarin, beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Ahli mesyuarat ICC Kelantan juga diberi taklimat mengenai rancangan ECERDC untuk membangunkan pelancongan Kenderaan Rekreasi (RV) di ECER, di mana, Tanah Tinggi Lojing di Gua Musang telah dikenal pasti sebagai tapak perintis untuk Taman RV di Kelantan.

Pada tahun ini, di bawah program Pembangunan Modal Insan, ECERDC turut menyasarkan untuk melatih seramai 2,000 pelajar di 50 buah sekolah menerusi Program Latihan Akademik empower ECER, manakala program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER pula akan melatih seramai 627 peserta di Kelantan dengan sokongan Yayasan Petronas.

ECERDC turut menyatakan komitmennya menyokong Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) melalui program PENJANA-ECERDC bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja ECER yang terjejas akibat pandemik.

“Sehingga kini, 1,029 peserta telah dilatih di Kelantan dan 87 peratus telah memperoleh pekerjaan dengan purata pendapatan RM2,300 sebulan. Pada tahun ini juga, seramai 410 peserta lagi akan dilatih di bawah program yang sama. Sementara itu, program ACES-ECER Jobs Train & Place telah pun melatih seramai 466 peserta di Kelantan dan daripada jumlah ini 395 peserta telah bekerja dalam industri teknologi komunikasi maklumat (ICT),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN