Cainiao Smart Logistics Network rancang bangunkan pusat pengedaran

Cainiao, PDC bangunkan pusat pengedaran logistik di Batu Maung

Chow Kon Yeow (kiri) melihat pelan projek pembangunan pusat pengedaran yang bakal dibangunkan oleh Cainiao Smart Logistic Network di Batu Maung, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Syarikat logistik berpangkalan di China, Cainiao Smart Logistics Network Ltd merancang membangunkan pusat pengedaran di Batu Maung, di sini bagi merancakkan lagi sektor e-dagang di kawasan Utara.

Cainiao yang merupakan rakan sekutu Alibaba Group Holding Ltd, semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai pembangunan pusat pengedaran yang dirancang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Cainiao KLIA Aeropolis Sdn. Bhd., Tim Fan berkata, Malaysia adalah lokasi yang sangat strategik untuk syarikat logistik itu dan ia melihat satu peluang yang agak besar untuk berkembang dalam pasaran negara ini

“Hab pertama kami di Malaysia adalah di KLIA dan kami mahu mengembangkan perniagaan di wilayah utara dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai hab yang kedua,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis menandatangani MoU itu.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDC, Aziz Bakar dan Tim Fan. Yang turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, hasil kajian kebolehlaksanaan berkaitan pembangunan pusat pengedaran itu dijangka diperoleh dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun.

“Sebidang tanah seluas kira-kira 12.14 hektar milik PDC yang berdekatan dengan Kompleks Kargo Udara Batu Maung dan kira-kira 3.1 kilometer dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah akan dikaji bagi pembangunan pusat pengedaran ini.

“Pusat pengedaran di Pulau Pinang yang dirancang ini merangkumi hab e-Dagang dan logistik serantau, menyediakan perkhidmatan kepada PKS e-Dagang dan memenuhi permintaan untuk gudang dan pengedaran oleh pengendali kargo udara,” katanya.

Tambahnya, memandangkan perkembangan global industri logistik, rancangan untuk membangunkan pusat pengedaran di Pulau Pinang adalah tepat pada masanya dan relevan dengan keadaan masa kini.

“Pusat pengedaran ini akan membolehkan wujudnya satu lokasi untuk menyimpan sejumlah besar produk, menjadikannya komponen asas rangkaian bekalan.

“Kemudahan sedemikian mendapat permintaan tinggi di Pulau Pinang, yang merupakan lokasi utama untuk industri dan perniagaan berorientasikan eksport,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN