PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan bantuan kewangan pengajian berjumlah RM246,000 kepada 123 pelajar anak yatim daripada golongan asnaf dan B40.
Bank Islam dan PTPTN masing-masing menyumbang RM123,000 bagi usaha murni ini.
Setiap pelajar terpilih menerima bantuan kewangan pengajian berjumlah RM2,000 terdiri daripada wang tunai sebanyak RM1,000 dan bakinya dikreditkan ke akaun Simpan SSPN Prime masing-masing untuk dimanfaatkan apabila mereka melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi kelak.
Ia sebahagian daripada inisiatif tahunan AMAL bagi membantu golongan yang memerlukan menggunakan dana zakat dan dana tanggungjawab korporat Bank Islam serta wakalah zakat PTPTN melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Penyampaian sumbangan bantuan kewangan pengajian itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Mohd. Muazzam berkata, Bank Islam amat prihatin dengan keadaan semasa yang amat mencabar, terutamanya sejak penularan wabak Covid-19 yang turut menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat.
“Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, pelbagai inisiatif telah kami atur bagi memeriahkan sambutan serta meringankan beban golongan yang terkesan. Sejumlah RM385,000 telah kami peruntukkan di bawah program AMAL Ihtimam Ramadan bagi menyantuni segenap lapisan masyarakat.
“Inisiatif bantuan kewangan pengajian kepada pelajar anak yatim terpilih dan B40 ini merupakan sebahagian daripada program tersebut. Tumpuan kami kali ini adalah untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan khas sebagai sokongan dalam memastikan kebajikan dan pendidikan mereka kekal terpelihara,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Dasuki pula berkata, PTPTN menyambut baik inisiatif AMAL Bank Islam bagi menjayakan Program Sumbangan Bantuan Kewangan Pengajian kepada Anak Yatim (Asnaf) yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.
Jelasnya, PTPTN turut proaktif menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, sama ada agensi swasta dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengadakan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memastikan bantuan yang diberikan adalah merangkumi pelbagai golongan sasar.
“Sebagai agensi yang dekat dan cakna dengan keperluan masyarakat, PTPTN turut menyelami dan merasai kesusahan anak-anak yatim ini dalam meneruskan kehidupan setelah kehilangan ibu bapa tersayang. Para pelajar ini sewajarnya dibantu dari segi kewangan dan moral dalam usaha meringankan beban di samping memberi sinar baharu kepada kehidupan mereka,” katanya. – UTUSAN









