WASHINGTON: Disebabkan tahap hutang dan defisit yang tinggi, negara di bawah tekanan kewangan yang teruk dan krisis hutang dijangka terus bertambah, menurut Presiden Bank Dunia, David Malpass pada Isnin, lapor Xinhua.
Menyedari hutang adalah satu daripada dua masalah besar yang dihadapi oleh pertumbuhan global, Malpass berkata, 60 peratus negara berpendapatan rendah sudah berada dalam masalah hutang atau berisiko tinggi.
“Krisis hutang dan kejatuhan nilai mata wang membebani golongan miskin. Masalah besar lain untuk pertumbuhan global ialah inflasi. Ia telah menyebabkan tekanan yang besar.
“Oleh itu, dasar perlu diselaraskan untuk meningkatkan bekalan, bukan hanya meningkatkan permintaan.
“Pasaran bersifat kehadapan, jadi adalah penting bagi kerajaan dan sektor swasta menyatakan bekalan akan meningkat dan dasar mereka akan memupuk kestabilan mata wang untuk menurunkan inflasi dan meningkatkan kadar pertumbuhan,” katanya pada Mesyuarat Musim Bunga 2022 Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia yang dijadual berlangsung dari Isnin hingga Ahad.
Bank Dunia dilaporkan telah menyediakan dana kecemasan berjumlah AS$170 bilion (RM723.38 bilion) untuk membantu negara-negara miskin menghadapi pelbagai krisis.
Sementara itu, di tengah-tengah perang di Ukraine, ketua Bank Dunia berkata, pihaknya amat prihatin terhadap negara-negara membangun, yang menghadapi kenaikan harga mendadak untuk tenaga, baja dan kemungkinan kenaikan kadar faedah.
Jelas Malpass lagi, dengan latar belakang inflasi yang tinggi, jangkaan kenaikan kadar , perang antara Rusia dan Ukraine dan pertumbuhan perlahan di China, Bank Dunia telah menurunkan unjuran kadar pertumbuhan global 2022 kepada 3.2 peratus daripada 4.1 peratus yang diunjurkan pada Januari.
Beliau turut menyatakan perdagangan global masih menghadapi kuota, tarif import dan eksport yang tinggi, subsidi harga makanan yang mahal dan juga larangan eksport ke atas produk makanan.
“Itu harus dihentikan. Komuniti antarabangsa harus segera meningkatkan bantuan kecemasan untuk ketidakamanan makanan dan membantu memperkukuh jaringan keselamatan sosial,” katanya.
Lapor Reuters, Bank Dunia telah menyediakan kira-kira AS$17 bilion (RM72.33 bilion) setahun untuk mengukuhkan keselamatan makanan, sebahagian besar daripada usaha globalnya. – AGENSI










