AirAsia sambut ketibaan pelancong antarabangsa - Utusan Malaysia

AirAsia sambut ketibaan pelancong antarabangsa

AIRASIA menyambut ketibaan pelancong antarabangsa di terminal ketibaan klia2 selepas sempadan negara dibuka semula sepenuhnya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia meraikan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dengan menyambut ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Sebanyak 12 penerbangan antarabangsa AirAsia dari lapan buah negara, termasuk Kemboja, Vietnam, Indonesia, Singapura, Thailand, Bangladesh, Filipina dan India tiba di klia2, menandakan permulaan kukuh untuk pemulihan perkhidmatan antarabangsa yang terhenti lebih dua tahun disebabkan pandemik. 

Kakitangan AirAsia yang lengkap divaksinasi sepenuhnya termasuk juruterbang, kru kabin dan kakitangan darat menyambut dan melayan para tetamu yang mengambil peluang untuk kembali terbang bersama-sama AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Bo Lingam berkata, pihaknya telah membuat persediaan rapi dari segi operasi untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan selesa kepada para tetamu. 

“AirAsia berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan industri yang berkaitan untuk membina semula industri penerbangan dan pelancongan bersama-sama. Kami akan terus menyemak rangkaian kami dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat. 

“Lebih banyak penyambungan semula perkhidmatan serta laluan unik yang baharu akan diumumkan dalam masa terdekat sejajar dengan pembukaan sempadan dunia secara beransur-ansur,” katanya dalam kenyataan.

Bo memaklumkan, sebagai menyokong permintaan untuk perjalanan udara, AirAsia telah melancarkan pelan langganan SUPER+ yang membolehkan para tetamu membuat perjalanan merentasi rantau Asean di empat pasaran terasnya iaitu Thailand, Indonesia, Malaysia dan Filipina. 

“Kami yakin SUPER+ akan menjadi produk yang popular di kalangan mereka yang ingin berhubung dengan rakan dan keluarga serta ingin menempah percutian singkat di dalam dan luar negara selepas terpisah lebih dua tahun. 

“Selain penerbangan tanpa had, pelanggan SUPER+ juga akan menikmati perlindungan insurans COVID sebelum berlepas serta penghantaran percuma airasia food di mana-mana sahaja perkhidmatan itu tersedia di seluruh rantau ini, termasuk semasa mereka melakukan perjalanan,” tambahnya.

Sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa, para tetamu AirAsia kini boleh berkunjung ke destinasi popular di Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Maldives dan banyak lagi dengan tambang serendah RM89 sehala, manakala laluan domestik pula bermula daripada hanya RM39 sehala. 

Tempahan boleh dibuat dengan menekan ikon ‘Flights’ pada airasia Super App dari sekarang hingga 3 April 2022, untuk tempoh perjalanan antara 1 April 2022 dan 25 Mac 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN