Usahawan bimbingan RichWorks rekod jualan terkumpul RM3.7 bilion

Usahawan bimbingan RichWorks jana jualan RM3.7 bilion

DR. Azizan Osman menyampaikan anugerah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Eskayvie Sdn. Bhd., Kartika Wati Mohamed di atas kejayaan syarikat itu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di sebalik tekanan berganda akibat pandemik Covid-19, seramai 1,885 usahawan yang dibimbing syarikat RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), berjaya merekodkan jualan terkumpul sebanyak RM3.7 bilion sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd. berkata, sebanyak RM3.21 bilion jualan dihasilkan oleh usahawan yang dibimbing melalui program eksklusif Titanium manakala usahawan-usahawan program Spire dan Elite-X masing-masing merekodkan jualan RM495 juta dan RM46.9 juta.

“Usahawan yang dibimbing secara intensif melalui program Titanium merekodkan jualan RM2.27 bilion pada 2020 berbanding hanya RM901 juta, 2019. Peningkatan jualan usahawan Titanium dari 2020 ke 2021 adalah sebanyak 41 peratus.

“Kesemua jualan Titanium sepanjang 2021 membabitkan 312 usahawan bersamaan 268 bisnes. Daripada jumlah itu, 85 peratus atau 227 bisnes usahawan Titanium merekodkan peningkatan jualan berbanding tahun sebelumnya,” kata beliau dalam kenyataan.

Tambah Radz, pencapaian itu sangat membanggakan berikutan banyak syarikat berhadapan krisis sehingga ada yang terpaksa membuang pekerja dan gulung tikar, namun usahawan bimbingan RichWorks merekodkan jualan berganda.

Untuk rekod, seramai 77 usahawan Titanium merekodkan jualan lebih RM10 juta, jualan RM50 juta (lima usahawan) dan jualan lebih RM100 juta (lima usahawan).

Sebagai menghargai pencapaian luar biasa itu, kata Radz, RichWorks meraikan 184 usahawan membabitkan 141 perniagaan dalam program RichWorks Titanium Gala Awards di Pusat Konvensyen KL (KLCC) barubaru ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengarah RichWorks, Datuk Jerry Rizal.

Sementara itu, Mentor Usahawan dan Pengasas RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman dalam ucapan pada majlis berkenaan berkata, angka-angka pencapaian usahawan Titanium itu membuktikan pandemik, krisis, bencana, malapetaka merupakan cabaran banyak manusia hadapi yang boleh dihadapi dengan mencari jalan.

Kata beliau, RichWorks banyak menganjurkan program percuma di mana sejak awal pandemik pada 2020, hampir setiap hari dan setiap minggu ada program percuma.

“Keutamaan saya tetap kepada Titan (usahawan Titanium). RichWorks dari hari pertama lagi PKP dikuatkuasakan, berhubung dengan semua Titan dan students Mentorship kami untuk kenal pasti situasi mereka dan apa tindakan yang perlu diambil untuk bantu dan bimbing mereka dalam krisis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN