PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan, berlaku kekeliruan dalam laporan media kononnya warga kerjanya menerima sogokan daripada sindiket mencuri elektrik untuk melombong bitcoin.
Hakikatnya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, tiada warga kerja TNB yang ditahan dalam operasi membanteras sindiket mencuri elektrik membabitkan perlombongan bitcoin bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Hakikatnya, kaedah operasi sulit (covert) TNB bersama SPRM ini memerlukan intipan secara penyamaran (undercover) dibuat untuk memerangkap dan mendedahkan kegiatan sindiket ini,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan beliau itu merujuk kepada laporan media dan berita tular di media sosial mengenai operasi terbabit.
Menurut laporan, SPRM sudah menahan 18 individu bagi membantu siasatan kes suapan rasuah oleh sindiket bitcoin kepada pekerja TNB menerusi Ops Power, baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sepatutnya menahan 23 orang individu kesemuanya, namun lima daripadanya tidak dapat ditahan lagi kerana positif Covid-19.
“Siasatan mendapati, suspek dipercayai menawarkan wang rasuah antara RM3,000 hingga RM300,000 kepada pekerja TNB supaya tidak diambil tindakan sebarang tindakan dan membocorkan maklumat operasi,” katanya.
Menurut Baharin, Pengurusan TNB amat berterima kasih kepada SPRM dan warga kerja TNB yang terlibat dalam operasi itu yang mengambil masa lebih dua tahun sehingga tindakan undang-undang dapat diambil terhadap mereka yang terlibat.
Jelasnya, inisiatif bersama itu telah pun membuahkan hasil dengan tertangkapnya 18 individu melibatkan 7,209 kes sejak 2018.
“Operasi sulit itu juga telah membolehkan SPRM membekukan 126 akaun bank bernilai RM4.47 juta membabitkan 97 individu serta 29 syarikat. Daripada 18 dalang sindiket yang ditangkap, salah seorang mempunyai 500 unit rumah kedai yang disewa untuk aktiviti perlombongan bitcoin secara haram.
“Pengurusan TNB juga berbangga dengan integriti tinggi warga kerja TNB yang memaklumkan kepada pengurusan mengenai pelbagai cubaan anggota sindiket untuk menyogok pasukan mencegah kecurian elektrik TNB. Perkongsian tersebut membawa kepada operasi bersama SPRM.
“SPRM memerlukan masa untuk membina kes yang kukuh bagi mengesan dan memerangkap dalang dan ketua sindiket, bukan sekadar operator atau pekerjanya. Kejayaan operasi bersama SPRM dan TNB itulah yang diumumkan dalam media semalam,” katanya lagi. – UTUSAN










