KUALA TERENGGANU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan struktur empangan di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir adalah selamat untuk beroperasi semula susulan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, penduduk setempat tidak perlu bimbang untuk menjalankan aktiviti harian mereka kerana penilaian terkini mendapati struktur empangan berkenaan kekal kukuh.
Katanya, ketika ini kerja-kerja mitigasi akibat runtuhan cerun-cerun di sekitar empangan giat dilaksanakan di samping proses membersihkan kawasan tanah runtuh yang menghalang laluan darat ke stesen berkenaan.
“Walaupun operasi SJSM ditutup sementara bermula 27 Februari lalu, tetapi air dari empangan masih mengalir ke Sungai Terengganu bagi meneruskan fungsi lainnya sebagai sumber air bersih dan pengairan untuk pertanian.
“TNB turut memberi jaminan yang bekalan elektrik pengguna di pantai Timur tidak akan terjejas susulan penutupan sementara SJSM kerana bekalan yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional adalah mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Terdahulu, Baharin menyampaikan sumbangan bernilai RM100,000 kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini.
Operasi SJSM ditutup sementara kerana menara penghantaran voltan tinggi tumbang dalam kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat luar biasa pada 25 Februari.
Baharin berkata, bekalan elektrik yang sebelum ini diputuskan sementara di Terengganu akibat banjir turut telah disambung semula sepenuhnya.
Dalam pada itu, katanya, paras air di empangan Kenyir masih berada di bawah tahap pelepasan automatik 145 meter dan jauh lebih rendah daripada kapasiti maksimum, 153 meter.
Katanya, paras air tertinggi pernah direkodkan di empangan setinggi 155 meter itu ialah 148.08 meter iaitu ketika Hulu Terengganu menerima taburan hujan lebat luar biasa pada 2014.
Menurutnya, TNB akan menjalankan penilaian komprehensif terhadap empangan Kenyir bagi melaksanakan penyelesaian jangka pendek dan panjang termasuk memastikan kestabilan cerun selaras untuk mempercepatkan proses baik pulih, terutama pembinaan semula menara penghantaran yang tumbang. – UTUSAN










