KANGAR : Starbucks Malaysia menyasarkan membuka 16 lagi cawangan menjelang Jun depan dengan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM16 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Berhad, Datuk Sydney Quays berkata, Starbucks yang sudah mempunyai 345 cawangan bercadang memperluaskan lagi pembukaan kedai berkenaan di sebelah utara tanah air seperti Perlis dan Kedah.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Starbucks Malaysia dan Brunei berkata, negeri-negeri sebelah utara sentiasa memberi respons yang baik kepada perniagaan tersebut.
“Jumlah 16 cawangan yang menjadi sasaran itu adalah daripada keseluruhan 25 cawangan yang biasa dibuka oleh syarikat ini setiap tahun kewangan berakhir pada Jun.
“Selain itu, bandar kecil juga menjadi sasaran kami, bukan sahaja di Perlis malah di Alor Setar, Muar dan Batu Pahat. Kami yakin dengan penerimaan yang ditunjukkan di bandar-bandar kecil ini,” katanya selepas majlis perasmian Starbucks Kangar Jaya pandu lalu di Kangar Jaya di sini, hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran tersebut.
Hadir sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Tuanku Laksamana Kedah, Tunku Shazuddin Arif Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Sementara itu, Sydney berkata, Starbucks Kangar Jaya yang merupakan cawangan pandu lalu ke-62 di negara ini menerima sambutan yang sangat memberangsangkan sejak dibuka pada Disember tahun lalu.
“Malah, pada hari pertama pembukaannya, kenderaan yang beratur di kaunter pandu lalu sehingga dua kilometer.
“Ini adalah cawangan pertama kami di Perlis. Sepatutnya, cawangan ini dibuka lebih awal namun terpaksa di tangguhkan akibat pandemik Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN










