PETALING JAYA: Seramai 153 pekerja bukan eksekutif SME Bank bakal menerima manfaat apabila bank tersebut secara rasmi telah memperbaharui Perjanjian Kolektif (CA) dengan Kesatuan Sekerja Komersial Kebangsaan (NUCW) yang mewakili Kesatuan Sekerja SME Bank bagi tempoh Julai 2019 hingga Jun 2022, hari ini.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, majlis itu menunjukkan kerjasama dan persefahaman yang erat antara pihak bank dan ahli kesatuan sekerja.
Kata beliau, penambahbaikan yang dimasukkan di dalam CA ialah kenaikan gaji pokok, semakan semula faedah perubatan dan kemasukan ke hospital, skim bantuan pemilikan motosikal serta faedah bersalin.
“Rangka Kerja Ganjaran dan Faedah Bank yang baharu ini dilihat akan mengukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi yang diamalkan oleh SME Bank. Selain itu, inisiatif ini akan membantu kakitangan terlibat menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang dihadapi sekarang,” katanya dalam kenyataan.
Perjanjian itu dtandatangani oleh Aria Putera dan Ketua Perhubungan Perusahaan SME Bank Muhammad Razif, mewakili pengurusan SME Bank dengan Saipul Mat Ramli dan Yusli Abdul Rafat mewakili kakitangan SME Bank.
Mewakili NUCW ialah Presiden, Muhammad Safizan Seman dan Setiausaha Agungnya, Jil Afril Jamaluddin. Majlis disaksikan oleh Setiausaha Eksekutif NUCW, T.M. Rajeswaran dan Ketua Penyelesaian Prestasi & Keupayaan SME Bank, Muhammad Rashdan Kamaruddin.
Sementara itu, Saipul merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan SME Bank kerana berjaya mengekalkan hubungan harmoni antara kedua-dua pihak serta sentiasa memastikan kebajikan dan keperluan pekerja bukan eksekutif, dijaga dengan baik.
“Penambahbaikan CA ini akan menjadi pembakar semangat untuk kami terus memberi yang terbaik kepada SME Bank,” kata beliau.
SME Bank kini mempunyai 1,064 kakitangan dan beroperasi melalui 26 buah cawangan di seluruh negara. Sejak penubuhannya pada 2005, SME Bank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM38 bilion dan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank telah melatih lebih 62,000 peserta melalui pelbagai program latihan keusahawanan. – UTUSAN










