PETALING JAYA: Selat Singapura menjadi ‘tumpuan’ lanun apabila merekodkan lebih separuh insiden serangan dan rompakan bersenjata terhadap kapal pada 2021.
Menurut laporan Pusat Perkongsian Maklumat, Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Kegiatan Lanun dan Rompakan Bersenjata ke atas Kapal di Asia (ReCAAP), sebanyak 82 insiden serangan lanun dan rompakan bersenjata terhadap kapal dilaporkan pada tahun lalu.
Jumlah itu bagaimanapun menurun sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan kedua terendah dalam tempoh 15 tahun sejak badan itu beroperasi.
Pengarah Eksekutif ReCAAP, Masafumi Kuroki berkata, antara sebab peningkatan serangan lanun ke atas kapal-kapal adalah penularan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi di banyak kawasan dan wilayah.
Kata beliau, pada tahun ini sahaja, terdapat empat insiden dilaporkan di Selat Singapura, dua daripadanya berlaku di lorong arah timur Skim Pemisahan Trafik.
Tambah beliau, peningkatan berterusan dalam insiden di Selat Singapura menyaksikan ia menyumbang lebih separuh daripada insiden di Asia tahun lepas dengan 49 kes, berbanding 34 pada 2020.
“Jumlah itu kedua tertinggi di laluan perairan utama dalam tempoh 15 tahun lalu selepas kes tertinggi direkodkan pada 2015 sebanyak 99 insiden,” katanya dalam laporan itu, semalam.
Kuroki berkata, sebilangan besar insiden iaitu sebanyak 43 kes, berlaku di lorong arah timur Selat Singapura berhampiran perairan Indonesia, dengan 26 insiden berlaku sekitar Tanjung Pergram di pintu masuk timur ke laluan terbuka.
Kata beliau, tahap keseriusan insiden bagaimanapun agak rendah, dengan kira-kira 69.5 peratus daripadanya disenaraikan dalam ‘Kategori 4’, di mana pelaku tidak bersenjata dan anak kapal tidak mengalami kecederaan.
“Saya berharap trend yang semakin meningkat mulai 2019 ini dapat dihentikan secepat mungkin. Kami telah mengesyorkan untuk mengukuhkan penyelarasan mereka (Singapura, Malaysia dan Indonesia), bertindak balas segera terhadap insiden yang dilaporkan oleh kapal, menangkap dan mendakwa pelaku kerana penahanan pelaku adalah pencegahan yang sangat penting,” katanya.
Selain Selat Singapura, laporan itu menyebut, perairan Filipina turut menyaksikan peningkatan serangan lanun dengan sembilan kes. – UTUSAN










