Sarung tangan, Mah Sing Healthcare peroleh Sijil UKCA PPE Kategori III

Sarung tangan Mah Sing Healthcare dapat sijil UKCA PPE III

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mah Sing Healthcare Sdn. Bhd. (Mah Sing Healthcare) telah memperoleh Sijil UKCA PPE Kategori III untuk sarung tangan nitrilnya.

Menurut Mah Sing Healthcare, UKCA ialah penandaan produk baharu UK untuk barangan yang dijual di Great Britain meliputi England, Wales dan Scotland.

Katanya, sijil itu dikeluarkan oleh Satra Technology, badan yang bertanggungjawab menjalankan penilaian pematuhan.

Jelasnya, Satra Technology sebelum ini telah mengeluarkan Sijil PPE Kategori III Kesatuan Eropah (EU) kepada  Mah Sing Healthcare, meliputi rantau berkenaan.

“PPE Kategori III (Peralatan Perlindungan Peribadi) menunjukkan produk telah lulus ujian peringkat tertinggi termasuk perlindungan terhadap virus, bakteria dan mikro-organisma, ujian resapan, degradasi dan rintangan kepada penembusan.

“Ia menunjukkan bahawa sarung tangan boleh memberi perlindungan terhadap sebarang bahaya yang boleh memberi risiko kepada kesihatan.

“Contoh PPE Kategori III ialah sarung tangan perubatan yang boleh melindungi terhadap pendedahan kimia. Sarung tangan jenis ini digunakan untuk menjalankan pemeriksaan perubatan, pergigian, prosedur diagnostik dan terapeutik, serta kerja makmal.

“Dengan pensijilan ini, Mah Sing Healthcare mampu menyasarkan kumpulan pembeli yang lebih besar yang memerlukan tahap jaminan kualiti yang tinggi, contohnya pemain perubatan besar di UK dan Eropah,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mah Sing Healthcare, kilang sarung tangannya telah menyelesaikan pentauliahan kesemua 12 barisan pengeluaran, dan menerima pensijilan yang diperlukan untuk memasarkan sarung tangan gred perubatan ke pelbagai negara, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, EU dan Wilayah Ekonomi Eropah (EEA).

Katanya, dengan faktor jualan yang lebih kukuh dan jangkauan geografi lebih luas, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan berterusan untuk sarung tangan.

“Kilang sarung tangan Mah Sing Healthcare ialah loji automatik untuk meningkatkan keberkesanan kos. Melangkah ke hadapan, Mah Sing berusaha untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi sambil mengekalkan perkhidmatan yang cekap, profesional dan berintegriti kepada pengimport global, pengedar, dan pelanggan kami,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN