MELBOURNE: Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak memberi amaran, harga minyak mentah boleh mencecah lebih AS$300 (RM1,254.18) sekiranya Barat meneruskan tindakan menyekat eksport minyak negara itu.
Malah kata beliau, Barat juga berkemungkinan berdepan penutupan saluran paip gas utama Rusia-Jerman jika meneruskan ancaman berkenaan.
“Adalah jelas penolakan minyak Rusia akan membawa kepada bencana bagi pasaran global.
“Kenaikan harga tidak dapat diramalkan. Ia akan menjadi AS$300 setong jika tidak lebih.” kata Novak dalam satu kenyataan di televisyen negara itu.
Rusia mengeksport kira-kira tujuh juta tong produk mentah dan minyak diproses sehari, bersamaan 7 peratus bekalan global, menurut lapor Bloomberg.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Rusia mengeksport kira-kira 60 peratus minyak ke Eropah, iaitu kira-kira satu pertiga daripada permintaan minyak rantau berkenaan.
Novak berkata, Eropah akan mengambil masa lebih setahun untuk menggantikan jumlah minyak yang diterima blok itu dari Rusia dan ia perlu membayar harga yang jauh lebih tinggi.
“Ahli politik Eropah perlu memberi amaran secara jujur kepada rakyat dan pengguna mereka apa yang diharapkan.
“Jika anda mahu menolak bekalan tenaga dari Rusia, teruskan. Kami bersedia untuk itu. Kami tahu ke mana kami boleh mengubah hala bekalan,” kata beliau lagi.
Novak berkata, Rusia mempunyai hak untuk bertindak balas selepas Jerman bulan lalu membekukan kebenaran saluran paip gas Nord Stream 2.
Amaran itu disuarakan apabila Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mengharamkan import minyak Rusia, sebagai tindakan balas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, baru-baru ini.
“Tiada kapasiti di dunia pada masa ini yang boleh menggantikan tujuh juta tong eksport,” kata Setiausaha Agung OPEC, Mohammad Barkindo kepada pemberita pada persidangan industri di Houston, merujuk kepada eksport minyak Rusia.
Lima penganalisis pula menganggarkan secara purata stok minyak mentah AS berkurangan kira-kira 800,000 tong dalam seminggu hingga 4 Mac lalu.
Sementara itu, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$1.06, atau 0.9 peratus, selepas didagangkan setinggi AS$125.19 (RM523.37) kemudian menurun kepada AS$121.31 (RM507.15).
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik 36 sen atau 0.3 peratus pada AS$119.72 (RM500.50) setong selepas turut didagangkan dalam julat kira-kira AS$4.
Pergerakan harga tidak menentu itu berlaku berikutan peningkatan mendadak pada Isnin hingga menghampiri paras tertinggi 14 tahun iaitu AS$139 (RM581.16) apabila Pentadbiran Presiden Joe Biden berkata, AS sedang berbincang dengan Britain, Perancis dan Jerman mengenai pengharaman minyak Rusia.
AS bersedia untuk meneruskan dengan larangan itu secara bersendirian manakala Jerman, pembeli terbesar minyak mentah Rusia, menolak rancangan untuk mengharamkan import ke atas bekalan tenaga Rusia itu. – AGENSI










