PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) dan RHB Islamic Bank (RHB Islamic) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU), menandakan permulaan perkongsian jangka panjang yang fokus kepada pemulihan terumbu karang.
MoU itu berfungsi sebagai rangka kerja untuk aktiviti bersama masa depan sainstis marin UM, dan RHB Islamic, berdedikasi kea rah meningkatkan kesedaran tentang ekosistem terumbu karang dan membangunkan penyelesaian berasaskan sains untuk menangani kemerosotan terumbu karang.
Penyelidikan pemulihan terumbu karang di UM akan diterajui melalui projek PULIH, dimana pasukan penyelidikan akan mengkaji bagaimana untuk memulihkan terumbu karang daripada kerosakan fizikal dengan menumpukan kepada disiplin saintifik yang berbeza iaitu ekologi, geografi, fisiologi dan biologi molekul.
Saintis Terumbu Karang Projek PULIH, Affendi Yang Amri berkata, terumbu karang menyediakan sumber yang mengekalkan ekonomi dan budaya rakyat Malaysia.
“Lebih daripada 25 peratus daripada semua spesies marin mengangap terumbu karang sebagai rumah mereka, termasuk ikan dan makanan laut yang kita makan dan adalah sumber pendapatan nelayan kita.
“Jumlah litupan karang dalam Malaysia, bagaimanapun, telah berkurangan separuh sejak 1990. Sudah tiba masanya untuk mengurangkan penurunan terumbu karang dengan membantu memulihkannya.
“Perkongisan dengan RHB Islamic itu akan memberi perhatian kepada pihak berkaitan dan meningkatkan kapasiti kami untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan.
Bagi menandatangani MoU terbabit, RHB Islamic diwakili oleh Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali manakala Um diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Profesor Dr. Sabri Musa.
Perkongsian itu adalah lanjutan daripada inisiatif utama RHB Islamic iaitu Ocean Harmoni yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan untuk pemuliharaan ekosistem marin.
Melalui visi bersama, UM dan RHB Islamic memperkukuh komitmen mereka kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, SDG14 Life Below Water dan SDG 17 Partnerships for the Goals.
Sementara itu, Adissadikin berkata, adalah penting untuk pihaknya memainkan peranan dalam memacu pembangunan mampan dan itu termasuk melindungi lautan dan kehidupan marin.
“Pemulihan terumbu karang akan membawa hasil yang signifikan dari segi sosial dan ekonomi kerana terumbu karang sering menjadi tulang belakang kawasan tropika dan ekonomi negara membangun.
“Kami gembira dapat menjadi sebahagian daripada perkongsian strategik dengan UM untuk mempergiatkan usaha kelestarian kami dalam memacu SDG14 untuk manfaat alam sekitar, ekonomi dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN