PETALING JAYA: Jumlah dagangan Malaysia pada Januari 2022 bernilai RM203.0 bilion (peningkatan 24.8 peratus tahun ke tahun) dengan nilai eksport RM110.7 bilion (peningkatan 23.5 peratus tahun ke tahun) dan import bernilai RM92.3 bilion (peningkatan 26.4 peratus tahun ke tahun).
Menurut Jabatan Perangkaan, eksport barangan elektrik dan elektronik bernilai RM44.8 bilion, mewakili 40.4 peratus daripada jumlah eksport.
Jelasnya, di peringkat negeri, Pulau Pinang mencatatkan eksport tertinggi bagi barangan elektrik dan elektronik bernilai RM26.2 bilion sebanyak 58.5 peratus, diikuti Selangor (RM6.0 bilion, 13.3%) dan Johor (RM4.8 bilion, 10.7%).
Mengulas laporan itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport pada Januari 2022 meningkat sebanyak RM21.1 bilion (peningkatan 23.5%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dengan eksport lebih tinggi direkodkan oleh kebanyakan negeri.
Kata beliau, Pulau Pinang merekodkan peningkatan eksport sebanyak RM5.0 bilion, diikuti Johor (+RM4.0 bilion), Sarawak (+RM3.7 bilion), Selangor (+RM3.6 bilion), Kedah (+RM1.8 bilion), Sabah (+RM1.4 bilion), Pahang (+RM732.3 juta), W.P. Labuan (+RM713.8 juta), Terengganu (+RM511.0 juta), Wilayan Persekutuan (WP) Kuala Lumpur (+RM278.9 juta), Kelantan (+RM66.2 juta) dan Perlis (+RM33.1 juta).
“Walau bagaimanapun, eksport menyusut di Perak (-RM610.2 juta), Melaka (-RM197.9 juta) dan Negeri Sembilan (-RM68.9 juta).” katanya dalam kenyataan sempena laporan statistik eksport mengikut negeri bagi Januari 2022, semalam.
Mohd. Uzir berkata, import mengikut negeri bagi bulan dilaporkan juga menyaksikan peningkatan sebanyak 26.4 peratus kepada RM19.3 bilion berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Peningkatan import katanya, turut dicatatkan di Selangor (+RM4.7 bilion), Pulau Pinang (+RM4.0 bilion), Johor (+RM3.4 bilion), Kedah (+RM2.4 bilion), WP Kuala Lumpur (+RM1.6 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Negeri Sembilan (+RM673.0 juta), Pahang (+RM525.5 juta), Melaka (+RM151.9 juta), Perak (+RM143.0 juta), Terengganu (+RM115.1 juta), Sabah (+RM98.2 juta) dan Perlis (+RM22.5 juta).
“Walau bagaimanapun, import menurun di Kelantan (-RM162.8 juta) dan WP Labuan (-RM37.9 juta),” katanya.
Tambah beliau, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.3 peratus, diikuti Selangor (19.0%), Johor (18.3%), Sarawak (7.8%) dan Kedah (4.1%).
“Sementara itu, bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 27.3 peratus, diikuti Pulau Pinang (24.4%), Johor (18.9%), WP Kuala Lumpur (7.0%) dan Kedah (6.6%),” jelas beliau. – UTUSAN










