PIP dijangka menyumbang RM2.8 bilion untuk KDNK negeri Perlis.

PIP sumbang RM2.8 bilion KDNK Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kanan) melihat pelan pembangunan Terminal Pelabuhan Darat Perlis di Padang Besar, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Projek Pembangunan Terminal Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dijangka menyumbang sebanyak RM2.8 bilion untuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Perlis.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohammad Haris Kader Sultan berkata, projek berkenaan juga bakal mewujudkan sebanyak 500 peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat negeri ini menjelang 2030.

Beliau memberitahu, PIP juga merupakan komponen utama dalam menyokong pembangunan bersepadu di Lembah Chuping yang merangkumi Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Chuping Agro Valley (CAV).

“Kesemua projek tersebut akan membuka lembaran baru dalam mentransformasi negeri ini ke arah ekonomi yang berteraskan perdagangan rentas sempadan dengan memanfaatkan kerjasama serantau Segitiga Pertumbuhan Indonesia- Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan ASEAN.

“Melalui pendekatan serampang tiga mata di dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ini, pelaksanaan projek-projek strategik dan pelaburan swasta akan disepadukan dengan  program-program modal insan berteraskan rakyat bagi memastikan pembangunan yang lebih inklusif,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PIP dan Bonded Road di sini, semalam.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut dihadiri  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Tambah Mohammad Haris, PIP memainkan peranan yang sangat penting sebagai infrastruktur strategik yang akan melengkapkan pembangunan logistik dan perdagangan di NCER.

Selain itu katanya, ia juga bakal merancakkan dan mempertingkatan jumlah perdagangan merentas sempadan di antara Malaysia dan Thailand melalui Padang Besar sebanyak 50 peratus.

Sementara itu, Azlan berkata, projek PIP itu akan dilaksanakan oleh Syarikat Mutiara Perlis Sdn. Bhd. dengan anggaran pelaburan RM1.2 billion di kawasan berkenaan.

Katanya, manakala infrastruktur luaran yang mengandungi tiga komponen iaitu ‘bonded road’, ‘flyover’ dan ‘railway spurline’ dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan melalui NCIA dengan kos sebanyak RM318 juta.

“Sebenarnya, cetusan idea untuk merealisasikan projek ini telah bermula pada tahun 2014 lagi. Kerajaan negeri melihat terdapat keperluan untuk menyediakan hub logistik darat bagi memperluas perkhidmatan sedia ada. Dengan pembangunan kawasan industri berskala besar CVIA ini, PIP dilihat menjadi nadi utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN