PETALING JAYA: Pemerkasaan Syarikat Awam Tersenarai (PLC) amat penting bagi meningkatkan daya saing mereka dan bagi menarik minat pelabur dalam pasaran modal negara, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, ini kerana, PLC merupakan antara pemacu utama dalam membina ekonomi Malaysia yang berdaya tahan.
Justeru katanya, melalui buku panduan Bursa Malaysia dan inisiatif lain yang akan dilaksanakan, Program Transformasi PLC bertujuan membantu PLC dalam mengenal pasti bidang pembangunan yang sejajar dengan aliran global utama dan jangkaan pelbagai pihak berkepentingan.
“Usaha ini pastinya akan meningkatkan kebolehlaburan PLC, khususnya apabila tema seperti Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus semakin menjadi tumpuan dalam kalangan pelabur global,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Bursa Malaysia sempena pelancaran Program Transformasik PLC, semalam.
Menurut Bursa Malaysia, Program Transformasi PLC berteraskan lima buku panduan digital, berdasarkan prinsip utama untuk memupuk PLC yang berpaksikan Tujuan dan Prestasi; Berkembang sebagai Organisasi yang Mampan, Bertanggungjawab Secara Sosial dan Beretika; Menambahbaik Pengurusan Pihak Berkepentingan dan Hubungan Pelabur;
menggalakkan Penggunaan Digital; dan Menyumbang ke arah Pembinaan Negara secara keseluruhan.
Kesemua buku panduan digital ini akan dikeluarkan secara berperingkat, pada tahun ini. Program transformasi itu akan berlangsung sehingga 2025 untuk memacu PLC ke arah strategi pertumbuhan dan meningkatkan prestasi syarikat.
Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Penurunan keuntungan PLC beberapa tahun kebelakangan ini mengetengahkan keperluan yang jelas bagi PLC untuk menjalani transformasi yang bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan prestasi mereka, tetapi juga untuk memastikan masa depan mereka cerah memandangkan persaingan global semakin sengit.
“Kami yakin bahawa program ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Korporat Malaysia, tetapi ia juga akan mengeluarkan beberapa hasil positif yang antara lain akan meningkatkan keyakinan terhadap pasaran serta membantu memulihkan ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift pula berkata, PLC mesti tangkas bertindak dalam landskap ekonomi yang sangat mencabar, sambil mengekalkan fokus pada hasil yang mampan.
“Jika PLC yang mengambil bahagian komited dalam mempraktikkan amalan terbaik serta memberi tumpuan kepada pertumbuhan, kami percaya bahawa Program Transformasi PLC akan membantu meningkatkan kedudukan PLC kami,” jelasnya. – UTUSAN










