Baru-baru ini BNM telah melancarkan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026

Pelan sektor kewangan menyokong pembangunan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) telah melancarkan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 (PSK2022-2026). Ini adalah kali ketiga BNM melancarkan pelan sebegini semenjak pelancaran pelan pertamanya pada 2000.

Berbeza dari pelan-pelan sebelum ini yang menggariskan perancangan untuk tempoh 10 tahun, pelan terbaharu ini adalah untuk tempoh 5 tahun. Tiga tema umum PSK 2022-2026 adalah kewangan untuk semua, kewangan untuk transformasi dan kewangan untuk kelestarian.

Pelan ini telah dirangka tatkala negara Malaysia seperti juga negara-negara lain sedang menjalani fasa pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19, menangani cabaran akibat perubahan iklim dan dalam usaha mengambil peluang pembangunan teknologi yang pesat dan pantas.

Faktor-faktor ini telah diambil kira dalam penyediaan PSK 2022-2026 untuk memastikan sektor kewangan dapat memainkan peranannya dalam usaha memenuhi 5 teras utama pelan tersebut iaitu:
i) membiayai transformasi ekonomi negara,
ii) meningkatkan kesejahte­raan kewangan isi rumah dan perniagaan,
iii) memajukan pendigitalan dalam sektor kewangan,
iv) menyokong peralihan secara teratur kepada sistem ekonomi berlandaskan kelestarian; dan
v) membangunkan kewangan berasaskan nilai (value based finance)

INDUSTRI HALAL DAN KEWANGAN ISLAM

Berkait khusus untuk sektor perbankan dan kewangan Islam, PSK 2022-2026 juga telah menya­takan secara khusus keperluan untuk mengintegrasikan industri kewangan Islam dan industri halal.

Gabungan industri kewa­ngan Islam yang dianggarkan bernilai hampir AS$2.7 trilion (tahun 2020) dan industri halal yang dianggarkan akan bernilai seba­nyak AS$2.4 trilion, bakal mewujudkan industri yang bernilai hampir AS$6 trilion.

PSK 2022-2026 telah menggariskan bahawa dengan adanya infrastruktur kewangan Islam yang dibangunkan sebelum ini, termasuk kepimpinan industri sedia ada, pemain-pemain industri kewangan Islam Malaysia akan berupaya untuk mengorak langkah dalam menerajui dan mengambil peluang yang bakal wujud dari integrasi kedua-dua industri ini.

KEWANGAN LESTARI

PSK 2022-2026 juga memberikan tumpuan kepada peluang-peluang dalam sektor kewangan lestari, dimana Malaysia boleh memanfaatkan segala usaha-usaha perintis dalam pengantaraan kewangan berdasarkan nilai (value-based intermediation) atau VBI yang telah dipelopori oleh industri kewangan Islam.

Sejak inisiatif VBI dilancarkan pada 2017, sebanyak lebih RM94.2 bilion pembiayaan kewangan berdasarkan nilai ini telah disalurkan oleh sektor perbankan Islam, iaitu mewakili hampir 26 peratus dari keseluruhan pembiayaan yang telah diluluskan antara 2017-2020.

Namun, tumpuan PKS 2022-2026 tidak hanya terbatas kepada industri perbankan Islam. Industri takaful akan turut diberikan tumpuan sewajarnya, terutama dalam usaha pemain industri takaful mengembang dan menerapkan konsep VBI Takaful yang telah diperkenalkan semenjak 2021.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN