Pengeluaran getah asli meningkat 17.7 peratus

Pekebun kecil sumbang 89.1 peratus pengeluaran getah asli negara

Pekebun kecil merupakan penyumbang terbesar kepada pengeluaran getah negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli meningkat 17.7 peratus pada Januari 2022 kepada 49,087 tan metrik berbanding 41,690 tan metrik pada Disember 2021, demikian menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut DOSM, perbandingan tahunan turut menunjukkan peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding 45,735 tan metrik, tempoh sama 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli Malaysia pada Januari 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 89.1 peratus, berbanding sektor estet sebanyak 10.9 peratus.

“Jumlah stok getah asli meningkat 8.7 peratus pada Januari 2022 kepada 310,052 tan metrik berbanding 285,245 tan metrik pada Disember 2021. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.3 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.6%) dan estet getah (0.1%),” katanya dalam kenyataan.

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Mohd. Uzir berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 51,158 tan metrik pada Januari 2022 meningkat 11.3 peratus berbanding Disember 2021 sebanyak 45,982 tan metrik.

Kata beliau, China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli negara iaitu sebanyak 37.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2022, diikuti Amerika Syarikat (7.0%), Finland (3.8%), Jerman (3.3%) dan Iran (3.2%).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.2 bilion pada Januari 2022, turun 7.6 peratus berbanding Disember 2021 sebanyak RM2.3 bilion,” kata beliau.

Jelas beliau, perbandingan harga purata bulanan menunjukkan, lateks pekat merekodkan peningkatan 6.0 peratus kepada 572.08 sen sekilogram daripada 539.45 sen sekilogram pada Disember, manakala sekerap naik 3.2 peratus (603.05 sen sekilogram, Disember 2021: 548.07 sen sekilogram).

Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) yang meningkat antara 2.9 hingga 6.0 peratus.

Perubahan harga di peringkat global seperti yang dilaporkan oleh Data Harga Komoditi Bank Dunia turut menunjukkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing meningkat 3.3 peratus (daripada AS$1.72/kilogram (kg) kepada AS$1.78/kg) dan 2.7 peratus (daripada AS$1.92/kg kepada AS$1.97/kg).

Malaysian Rubber Board Digest melaporkan pemulihan dalam pasaran getah didorong oleh galakan aktiviti perkilangan global dan amaran tegas pasaran niaga hadapan getah serantau ke atas bargain-hunting activities.

“Dalam masa yang sama, kekurangan bekalan getah asli di peringkat global, lonjakan harga minyak mentah dan ringgit Malaysia kekal lemah berbanding dolar Amerika Syarikat,” jelas beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×