PETALING JAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah melancarkan program Pavilion Malaysia iaitu Minggu `Ekonomi Kitaran’ di Ekspo 2020 Dubai bermula hari ini hingga 31 Mac 2022.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Menurut KASA, pada majlis itu empat pakar telah berkongsi perkembangan terkini mengenai Ekonomi Kitaran merangkumi keseluruhan aspek termasuk dasar, teknologi, perniagaan dan peranan individu.
“Seiring dengan dokumen Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 yang telah dibangunkan oleh KASA, Minggu Ekonomi Kitaran ini menjadi platform untuk mempromosikan inisiatif ekonomi kitaran Malaysia yang mendokong prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar KASA, Eddy Muzuaansyah Mohd. Ali Murah dalam ucapannya berkata, Ekonomi Kitaran adalah peluang yang baik bagi semua.
“Peralihan kepada ekonomi yang lebih hijau, di mana nilai produk, bahan dan sumber dikekalkan dalam ekonomi selama mungkin, dan seterusnya meminimumkan penjanaan sisa dengan menyumbang secara ketara kepada ekonomi yang lebih mampan, rendah karbon, cekap sumber dan berdaya saing,” katanya.
Kata beliau, Malaysia mengiktiraf peranan penting semua entiti perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana dalam memacu ekonomi dan pada masa yang sama, mengekalkan persekitaran yang sihat.
“Justeru, program KASA ini membawa perusahaan tempatan bersama ke Ekspo 2020 Dubai bagi meneroka potensi dan peluang kerjasama dengan pemain antarabangsa dalam mempelbagaikan pelaburan model perniagaan kitaran,” tambah beliau.
Minggu Ekonomi Kitaran juga bertujuan menonjolkan inisiatif pihak industri tempatan dalam menerapkan dan mempromosikan amalan perniagaan lestari melalui agenda ekonomi kitaran dengan meningkatkan inovasi reka bentuk produk, mengoptimumkan proses pengeluaran dan melaksanakan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (Extended Producer Responsibility-EPR).
Bagi mencapai objektif ini, program ‘Business Pitching’ dan padanan perniagaan diadakan bagi mempromosi syarikat dari Malaysia kepada pasaran global.
Program ini juga bertujuan memperkenalkan Malaysia sebagai negara yang berkembang pesat memacu ekonomi kitaran. Sebanyak 13 syarikat dengan lebih 34 delegasi mengambil bahagian dalam program selama seminggu ini, jelas KASA.
Penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) selaku agensi pelaksana. – UTUSAN










