PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC dan Sea Hawk Lines Shipping LLC (Sea Hawk) telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik untuk membangunkan perniagaan pukal cecair konvensional di Northport.
Pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof dan Pengarah Sea Hawk, Mani Krishnan dibuat semasa majlis perasmian Minggu Selangor di Ekspo 2020 Dubai hari ini.
Majlis itu disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah; Duta Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Mohd. Tarid Sufian dan Exco Kerajaan Negeri Selangor Industri dan Perdagangan negeri, Datuk Teng Chang Khim.
“Perjanjian tersebut memeterai komitmen kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dan berkongsi pengalaman, kepakaran, keupayaan teknikal, sumber dan pengetahuan masing-masing bagi menjadikan Northport sebagai hab pengedaran serantau untuk pelanggan pukal cecair Sea Hawk di rantau ASEAN,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Sementara itu, Azman berkata, sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan Northport sejak lima tahun lalu, syarikat telah mewujudkan kawasan dan menambah kemudahan baharu untuk pengendalian kargo konvensional.
“Bagi Northport, kerjasama ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha kami untuk mengembangkan perniagaan pukal cecair, yang merupakan penyumbang kedua tertinggi kepada jumlah keseluruhan kendalian kargo
konvensional kami pada 2021.
“Kami amat yakin bahawa kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan kami berharap untuk terus meningkatkan kendalian kargo konvensional kami,” kata beliau.
Pada tahun lalu, Northport merekodkan 9,661,283 tan berat muatan (FWT) kendalian kargo, iaitu prestasi kedua tertinggi untuk kendalian kargo konvensional sejak penubuhan Northport melalui penggabungan Klang Container Terminal (KCT) dan Klang Port Management (KPM) pada 2000.
Perniagaan pukal cecair menyumbang 2,939,149 FWT atau 30.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kendalian, jelas Northport.
Sea Hawk, yang diperbadankan pada 2016 di Dubai, UAE, menyediakan perkhidmatan logistik dan pergudangan bersepadu termasuk operasi perkapalan, pelepasan kastam, dan pengendalian kereta terpakai dan kargo am di Dubai dan Asia Barat.
Pada tahun lalu, Northport telah mencatatkan prestasi pecah rekod untuk kendalian kontena tahunan tertinggi dalam sejarahnya selepas syarikat tersebut merekodkan sejumlah 3,324,364 TEU, meskipun berhadapan dengan dua cabaran yang besar, iaitu pandemik Covid-19 dan banjir kilat pada Disember 2021.
Sementara itu, Mani Krishnan berkata, lokasi yang strategik adalah antara faktor utama dalam keputusan pihaknya untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai hab operasi perniagaan mereka.
“Memandangkan Northport merupakan salah sebuah pelabuhan di Pelabuhan Klang yang menyediakan kemudahan sesuai dengan keperluan perniagaan pelanggan pukal cecair kami, Sea Hawk merasa berbesar hati menjalin kerjasama ini dan kami berharap dapat mengembangkan lagi perniagaan kami dengan Northport,” katanya.
Pada masa ini, Sea Hawk beroperasi di ruang gudang seluas 240,000 kaki persegi yang dimiliki oleh Northport dan syarikat tersebut sedang membangunkan tanah seluas 6.06 ekar untuk membina kemudahan gudang dengan keluasan 100,000 kaki persegi untuk hab mineral mereka di Northport. – UTUSAN










