PETALING JAYA: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.4 bilion bagi tahun kewangan berakjir 31 Disember, meningkat 21 peratus berbanding RM1.2 bilion tahun sebelumnya.
Kumpulan tutut merekodkan Keuntungan Sebelum Cukai sebanyak RM61.3 juta pada 2021, berbanding Kerugian Sebelum Cukai sebanyak RM153 juta pada 2020.
MRCB dalam kenyataan memaklumkan, prestasi yang bertambah baik itu adalah disebabkan kemajuan pembinaan projek LRT3 dan penyatuan penuh keputusannya selepas syarikat projek itu menjadi anak syarikat milik penuh kumpulan dan pendapatan yang diperoleh daripada anak syarikatnya, Perbadanan Pembangunan Seri Iskandar.
“Bahagian Pembangunan & Pelaburan Hartanah merekodkan penurunan 22 peratus dalam pendapatan kepada RM498.6 juta disebabkan penutupan dan sekatan tapak pembinaan yang lebih lama pada 2021.
“Ia sekali gus memberi kesan kepada kemajuan pembinaan dan sumbangan daripada Sentral Suites, 9 Seputeh dan Alstonia.
“Bahagian ini mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM153.4 juta pada 2021, berbanding RM63 juta pada 2020,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan, bahagian Kejuruteraan, Pembinaan & Alam Sekitar mencatatkan peningkatan 75 peratus dalam pendapatan kepada RM903 juta, berikutan penyatuan penuh pendapatan daripada projek LRT3 pada suku keempat 2021, setelah siap 67 peratus.
“Pendapatan juga disumbangkan oleh Ibu Pejabat Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) di Kwasa Sentral, Pakej CB2 Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam, Pakej V210 Mass Rapid Transit 2, Pakej CA2 Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang dan
Projek PR1MA Brickfields.
“Bahagian ini merekodkan kerugian operasi sebanyak RM40.7 juta pada 2021 berikutan penutupan tapak pembinaan pada tahun tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










