McDonald’s Malaysia umum pelan pengembangan lima tahun syarikat.

McDonald’s Malaysia umum pelan pengembangan

McDonald’s dijangka menawarkan lebih 50,000 peluang kerjaya kepada rakyat Malaysia menjelang 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia mengumumkan pelan pengembangan lima tahun syarikat berikutan pertumbuhan 15 peratus tahun-ke-tahun pada 2021.

Menurut McDonald’s, peningkatan prestasi perniagaan yang amat signifikan itu adalah disebabkan keputusan pengurusan perniagaan yang strategik yang menumpukan beberapa pemacu perniagaan utama.

Jelasnya, sebagai sebahagian daripada Visi McDonald’s Malaysia 2026, syarikat akan melaburkan sejumlah RM1.35 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membuka 205 restoran baharu, yang secara keseluruhan mewujudkan 500 restoran McDonald’s di negara ini menjelang 2026.

“Melihat kepada trajektori pertumbuhan syarikat dan trend menaik dalam perniagaan masa kini, McDonald’s dijangka menawarkan lebih 50,000 peluang kerjaya kepada rakyat Malaysia menjelang 2026.

“Sebagaimana falsafahnya, iaitu Malaysia untuk Malaysia atau ‘Malaysians Serving Malaysians’, restoran khidmat segera ini terus komited menyediakan pekerjaan kepada 100 peratus rakyat Malaysia, pada masa sama mencapai Visi 2026 yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, 50,000 kekosongan pekerjaan akan membantu meningkatkan lagi pertumbuhan syarikat dan menyokong operasi restoran masa kini yang semakin berkembang secara signifikan sejak lebih dua tahun lalu.

Kata beliau, dengan pengenalan perkhidmatan ke meja yang lebih banyak di restoran, pengenalan landasan berkembar untuk restoran pandu-lalu, peningkatan perkhidmatan penghantaran dan juga pematuhan kepada panduan kesihatan dan penjarakan sosial, syarikat akan memerlukan kakitangan tambahan untuk memastikan kualiti dan piawaian perkhidmatan berada di tahap tertinggi.

“Kami menawarkan bukan sekadar pekerjaan, tetapi kerjaya yang bermakna di McDonald’s. Hari ini, seseorang mungkin menyertai kami sebagai kru restoran, tetapi dengan latihan dan tunjuk ajar, mereka boleh naik pangkat dengan mudah di McDonald’s dalam tempoh beberapa tahun,” kata Azmir.

Tambah Azmir, komitmen McDonald’s untuk mengukuhkan kebolehpasaran belia telahpun diiktiraf dalam industri hospitaliti.

“Hari ini, belia Malaysia boleh memulakan kerjaya melalui Program Perantisan Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN),” tambah Azmir, yang turut mengatakan bahawa McDonald’s menyasarkan pelaburan RM300 juta dalam program-program latihan dan pembangunan menjelang 2026. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN