PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia melakar sejarah ibu kota Kuala Lumpur dengan menjadikan ilustrasi kentang gorengnya – “McDonald’s French Fries” – yang terkenal di seluruh dunia sebagai lintasan pejalan kaki sekali gus mencipta lokasi ikonik baharu untuk pengguna-pengguna media sosial bergambar di ibu kota.
Menurut McDonald’s, Usaha itu bertujuan untuk mencetus keterujaan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menjadi destinasi wajib dilawati buat pengunjung tempatan dan luar negara.
Berhadapan McDonald’s cawangan Bukit Bintang, Lintasan Pejalan Kaki ‘Fries’ McDonald’s itu akan membawa pengunjung terus ke dalam restoran pertama McDonald’s di Malaysia itu yang dibuka 40 tahun lalu iaitu pada 1982.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim serta Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.
Azmir berharap, penukaran lintasan pejalan kaki Bukit Bintang kepada Lintasan Pejalan Kaki ‘Fries’ McDonald’s akan membantu memperkukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai lokasi wajib dilawati oleh pelancong tempatan dan luar negara.
“Melalui inisiatif ini kami sangat berbesar hati dapat menyokong rancangan kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur bandar raya yang makmur menjelang 2030,” katanya.
Kata beliau, syarikat telah meningkat maju bersama rakyat Malaysia sejak 40 tahun lalu dan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi Kuala Lumpur dan Malaysia secara keseluruhan.
Di samping menghidangkan detik-detik kegembiraan, kami juga menganjurkan program komuniti dengan kerjasama Ronald McDonald House Charities (RMHC) sebagai salah satu cara untuk membantu komuniti-komuniti di mana kami berada,” tambah Azmir. – UTUSAN










