Sektor perbankan Malaysia berada pada kedudukan yang baik

Malaysia hab bakat global

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menandatangani plak perasmian Ibu pejabat baharu HSBC Malaysia di Menara IQ, TRX Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor perbankan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk merealisasikan aspirasi negara dan menjalani transformasi serta perubahan ketara, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, Pelan Tindakan Sektor Kewangan yang memperincikan strategi penting bagi sektor kewangan baru-baru ini turut membantu mengharungi cabaran dan peluang yang akan datang.

Ujarnya, ia juga memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat ekonomi yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Dengan hubungan baik dan rancangan untuk lebih banyak infrastruktur serta pelaburan modal insan pada tahun-tahun akan datang, negara ini bersedia untuk menjadi pangkalan serantau dan antarabangsa yang ideal untuk perniagaan.

“Kami berhasrat untuk merealisasikan potensi ini dengan menjadikan Malaysia sebagai hab untuk bakat global, pusat pembangunan teknologi baharu dan menarik, serta titik tumpuan untuk pertukaran idea dan maklumat,” katanya dalam ucapan perasmian Ibu pejabat HSBC Malaysia yang baharu, di Menara IQ, TRX Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pihaknya amat menghargai para pelabur yang telah sekian lama bertapak di Malaysia seperti HSBC yang telah memainkan peranan utama di negara ini sepanjang 130 tahun yang lalu, dan kini membantu dalam memudahcarakan pemulihan ekonomi, pertumbuhan dan transformasi Malaysia.

HSBC Malaysia berpindah ke bangunan Menara IQ setinggi 33 tingkat, di mana HSBC telah melabur sebanyak AS$250 juta (RM1.04 bilion), menunjukkan fokus bank ini untuk menyediakan persekitaran kerja moden yang sesuai dengan keupayaan digital yang unggul, menyepadukan standard tertinggi bagi kelestarian alam sekitar.

Premis baharu itu akan membolehkan pekerjanya berada dalam model baharu Pekerjaan Masa Depan yang menawarkan peralihan ke arah gaya kerja yang lebih hibrid dan fleksibel.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne berkata, pihaknya kekal komited membantu negara berkembang bagi abad yang akan datang dan seterusnya.

“Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam strategi HSBC dan penting bagi pertumbuhan Kumpulan di seluruh rantau ASEAN, sebuah rantau yang mempunyai potensi yang besar. Perpindahan ibu pejabat kami ke Menara IQ di TRX adalah bukti kukuh komitmen kami kepada Malaysia dan pelanggan kami di sini.

“Dengan memanfaatkan keterhubungan antarabangsa HSBC, kami akan terus mengukuhkan rangkaian tawaran kami merentasi perbankan runcit dan korporat, dengan tumpuan khusus pada kewangan mampan dan inovasi digital, untuk terus memacu pertumbuhan perniagaan di negara ini,” ujarnya.

Menara IQ telah direka bentuk sebagai sebuah bangunan komersial dengan pelbagai penyewa, bercirikan digital dan alam sekitar yang merangkumi elemen keseluruhan aspirasi TRX dan pembangunan komuniti di kawasan itu.

HSBC memiliki bangunan ini dan merupakan penyewa utama yang menduduki 22 tingkat. Tingkat yang selebihnya akan dipajak kepada syarikat yang menyokong ekosistem TRX seperti syarikat teknologi kewangan, kewangan dan perkhidmatan profesional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN