Kos pembinaan MRT 3 Laluan Lingkaran dianggarkan sekitar RM31 bilion.

Kos pembinaan MRT3 RM31 bilion

PEMBUKAAN sepenuhnya laluan MRT 3 bakal menyediakan rangkaian kemudahan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh kepada orang ramai. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kos pembinaan Mass Rapid Transit 3 (MRT 3) Laluan Lingkaran dianggarkan sekitar RM31 bilion, namun kos pembinaan sebenar akan dapat diketahui selepas tender terbuka selesai.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, kos tersebut sedikit tinggi berikutan laluan MRT3 yang melalui tanah pembangunan di ibu negara.

“Laluan MRT3 melingkari pinggiran bandar raya Kuala Lumpur dan mempunyai jajaran sepanjang 51 kilometer. Jadi, kos pengambilan tanah adalah lebih tinggi.

“Kos pembinaan akan dimuktamadkan melalui pelaksanaan tender. Kerajaan juga akan menerbitkan sukuk dan bagi menampung faedahnya, kerajaan telah memperuntukkan aliran tunai yang mencukupi untuk menyediakan sukuk sehingga 2032,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Menurut beliau, kerajaan amat serius dengan dasar tender terbuka dan projek MRT3 adalah antara program perubahan pengurusan.

Penjajaran MRT3 akan merangkumi kesalinghubungan ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di bandar, dan pembinaan sebuah hab transit pelbagai mod.

Jajaran yang dicadangkan itu terdiri daripada laluan bertingkat sepanjang 40 kilometer (km) dan terowong bawah tanah sepanjang 11km. Ia akan mempunyai 31 stesen, di mana 10 daripadanya akan menjadi stesen pertukaran dengan lapan laluan rel sedia ada di Lembah Klang.

Fasa 1 MRT 3 Laluan Lingkaran ini akan beroperasi pada tahun 2028, dengan operasi penuh menjelang 2030.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong memberitahu, tender akan dibahagikan kepada lima pakej utama dan akan bermula pada Mei 2022.

Jelasnya, lima pakej utama adalah untuk dua kontraktor siap bina (turnkey) untuk kerja-kerja bertingkat, dan masing-masing satu kontraktor turnkey untuk kerja-kerja bawah tanah, sistem rel bersepadu dan perunding pengurusan projek untuk bekerja bersama MRT Corp.

“Kerajaan akan membiayai projek tersebut manakala sektor swasta akan membiayai beberapa kos pendahuluan. Butiran skim pembiayaan adalah berbeza di antara satu pakej dengan pakej yang lain.

“Dari segi pembiayaan, projek ini akan dibiayai dengan dana melalui terbitan sukuk namun pihak kontraktor juga perlu memperolehi dana untuk membolehkan mereka memulakan kerja pembinaan,” ujarnya.

Tambah beliau, projek ini adalah laluan terakhir yang amat penting untuk melengkapkan rangkaian rel bandar raya Kuala Lumpur, sekali gus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Laluan Lingkaran ini akan disambungkan dengan jajaran MRT, LRT, KTM dan Monorel sedia ada melalui 10 stesen pertukaran. Satu daripada pertukaran utama ialah Titiwangsa, yang akan menjadi hab pelbagai mod yang mengintegrasikan empat laluan rel dan hab bas bandar.

“Rangkaian transit yang lengkap akan membolehkan kerajaan memperkenalkan lebih banyak langkah seperti fi kenderaan dan alam sekitar untuk mengurangkan kesesakan dan mengurangkan jejak karbon,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN