Harga kontrak, bahan binaan, komponen barang meningkat 40 peratus

Kos kontrak, bahan binaan melonjak

Harga keluli bagi semua kategori bangunan mencatatkan peningkatan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menjangka harga kontrak, kos bahan binaan serta komponen barang-barang lain akan meningkat sebanyak 40 peratus berikutan lonjakan dalam harga logam perindustrian baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, melalui syarat perubahan harga (VOP), bahan-bahan seperti logam, tembaga dan besi harus menjadi bahan utama yang perlu dikawal selia harga.

“Melalui konsep keseimbangan harga, iaitu teori permintaan dan penawaran ia adalah amat penting. Kesan kenaikan harga logam itu akan memberi kesan yang mendalam kepada industri pembinaan negara yang sedang pesat berkembang.

“Ia boleh mengakibatkan kontraktor gulung tikar, projek tidak siap dan pengguna mengalami kerugian secara keseluruhan.

“Golongan yang akan terkesan terutamanya adalah kontraktor kecil Gred 1 hingga 4 yang membeli bahan di kedai perkakasan runcit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujarnya, sekiranya terdapat tempoh masa harga yang ditawarkan ia hanya akan sah sekitar tiga hingga lima hari sahaja.

Baru-baru ini, harga logam perindustrian dilaporkan meningkat, dengan harga nikel melonjak lebih 19 peratus berikutan konflik yang semakin memuncak di Ukraine dan sekatan ke atas Rusia membawa kepada kebimbangan gangguan bekalan.

Nikel di London Metal Exchange melonjak 17 peratus kepada AS$33,820 (RM141,316.87) satu tan selepas mencapai paras tertinggi sejak Mac 2008 pada AS$34,120 (RM142,570.42).

Kontrak April nikel yang paling banyak diniagakan di Bursa Hadapan Shanghai melonjak 11.4 peratus kepada 209,910 yuan (AS$33,191.03) satu tan. Harga mencecah rekod tertinggi 210,650 yuan pada awal sesi.

Penanda aras aluminium pada LME meningkat kepada rekod AS$4,000 (RM16,714) satu tan sebelum ini dan terakhir naik 2.1 peratus pada AS$3,930 (RM16,421.50).

Rusia menghasilkan kira-kira 6.0 peratus daripada aluminium dunia, 7.0 peratus nikel global dan menyumbang kira-kira 3.5 peratus daripada bekalan tembaga.

Dalam pada itu, tembaga LME naik 0.7 peratus kepada AS$10,745 (RM44,897.98) satu tan, plumbum naik 0.4 peratus kepada AS$2,468.5 (RM10,314.63), zink naik 2.3 peratus kepada AS$4,143 (RM17,311.53) dan timah naik 1.9 peratus kepada AS$48,420 (RM202,322.97).

Tembaga ShFE naik 2.9 peratus kepada 74,850 yuan satu tan, aluminium 1.6 peratus lebih tinggi pada 24,010 yuan, zink melonjak 3.2 peratus kepada 26,695 yuan, plumbum naik 1.5 peratus kepada 15,695 yuan dan timah naik 3.8 peratus pada 355.05. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN