PETALING JAYA: Konflik Rusia-Ukraine yang semakin memuncak menimbulkan risiko baharu kepada rantaian bekalan global, menurut firma penyelidikan Moody’s Investors Service.
Firma itu berkata, risiko terutamanya disebabkan oleh harga tenaga yang melambung tinggi dan laluan perdagangan yang digantung, kekurangan bahan input dan komponen, harga pengangkutan lebih tinggi dan komoditi utama, serta gangguan aliran kargo.
“Gangguan rantaian bekalan yang berterusan akan menjejaskan aktiviti ekonomi dan mengekalkan harga barangan lebih tinggi untuk tempoh lebih lama,” katanya dalam nota penyelidikan, semalam.
Moody’s berkata, sekatan terhadap minyak Rusia, gas asli cecair dan import arang batu oleh Amerika Syarikat (AS), dan rancangan United Kingdom (UK) untuk menghentikan import minyak Rusia secara berperingkat menjelang akhir tahun, menyebabkan harga minyak, gas dan arang batu melonjak.
Rusia mengimport kira-kira 38 peratus gas asli Eropah.
Selain menaikkan kos pembuatan intensif tenaga, kenaikan harga tenaga berkemungkinan akan meningkatkan kos pengangkutan, jelas firma itu lagi.
Dengan kontena utama menangguhkan `panggilan’ ke Ukraine dan Rusia, kesesakan mungkin meningkat di pelabuhan Eropah yang lain kerana kapal kontena dialihkan ke laluan lain dan lebih mahal untuk mengelakkan kawasan Laut Hitam.
“Perubahan laluan itu mungkin akan memanjangkan tempoh penghantaran dalam minggu-minggu akan datang dan tekanan kadar tambang lebih tinggi,” katanya.
Moody’s berkata, operasi pengangkutan udara juga lebih rumit berikutan penutupan ruang udara, memaksa laluan yang lebih panjang dan kemungkinan penangguhan penghantaran udara terutama antara Eropah dan Asia.
Ia berkata, perkembangan itu menyebabkan kos tenaga yang lebih tinggi dan berkemungkinan kadar pengangkutan udara meningkat secara berterusan.
Selain itu katanya, pengeluaran kereta khususnya di Eropah akan terjejas jika konflik membawa kepada gangguan yang berpanjangan ke atas bekalan logam dan gas Rusia serta Ukraine yang penting untuk pengeluaran semikonduktor dan bahagian lain.
Ia berkata pengeluaran di kilang kereta Jerman yang bergantung kepada komponen buatan Ukraine, seperti abah-abah pendawaian, telah pun dihentikan.
Jelasnya, neon dan paladium dari Eropah Timur merupakan bahan mentah utama dalam pengeluaran cip, manakala aluminium dan nikel, yang digunakan dalam bateri dan komponen kenderaan lain, adalah penting untuk pengeluaran kenderaan elektrik.
Sementara itu, pengeluar cip besar di Taiwan memberitahu, pihaknya menjangkakan kesan jangka pendek ke atas pengeluaran semikonduktor kerana inventori yang kukuh dan perolehan komponen yang pelbagai. – UTUSAN










