Kenaikan harga arang batu dunia mampu memberikan kesan langsung

Kenaikan harga arang batu beri kesan kepada TNB

PROJEK tenaga solar di Bukit Selambau yang dibangunkan oleh TNB sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi berpendapat, kenaikan harga arang batu dunia mampu memberikan kesan langsung kepada syarikat utiliti tunggal negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan arang batu adalah sumber terbesar penjana tenaga dengan hampir 60 peratus penggunaan.

Bagaimanapun, penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, pengeksport utama arang batu yang digunakan oleh TNB ialah Indonesia, dan kebiasaannya inventori TNB bersifat jangka hadapan dengan ramalan penggunaan tahunan akan dirunding dan dikunci.

“Namun dalam konteks arang batu ini, agak unik sedikit kerana lindung nilai harganya tidak sesempurna barangan lain atau mata wang, di mana kita boleh mengunci harga untuk pembelian hadapan, atau serahan hadapan, sekali gus boleh mengawal risiko dan menyerapnya di dalam kiraan.

“Untuk arang batu, selain daripada harga tahunan yang dipersetujui, ia juga bergantung kepada indeks, dan indeks ini amat sensitif kepada pergerakan harga semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Baru-baru ini, harga arang batu melonjak kepada AS$462 (RM1,937.17) satu tan pada Khamis, meningkat daripada AS$185 (RM775.70) pada 23 Februari lalu, dan dijangka mampu mencecah AS$500 (RM2,096.50) tahun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassani juga ketika persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini memaklumkan, peningkatan harga arang batu telah menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sehingga 45 peratus

Menurut Baharom, TNB sebenarnya telah mengalami tempias daripada penawaran yang berkurangan sejak penghujung 2020 dan peningkatan harga dari sekitar AS$50 ke AS$60 pada 2019, hingga AS$210 ke AS$230 pada 2020.

“Dengan jangkaan mencecah AS$500 satu tan tidak lama lagi, maka semestinya akan memberi beban peningkatan kos kepada TNB,” jelasnya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, kenaikan harga arang batu akan memberikan tekanan yang tinggi kepada keuntungan TNB seterusnya memaksa mereka mendapatkan kelulusan kerajaan bagi menaikkan tarif elektrik.

“Disebabkan TNB merupakan pembekal tunggal atau monopoli dari segi keperluan elektrik negara, kemahuannya untuk menaikkan harga lambat laun perlu diterima oleh masyarakat keseluruhannya.

“Ini memberikan kesan kepada kadar inflasi negara yang sudah menghadapi masalah kenaikan harga minyak, gas petroleum cecair (LPG) dan barang makanan. Selagi TNB boleh bertahan dengan kenaikan kos operasinya, maka kerajaan pasti akan mengutamakan rakyat dan para peniaga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, TNB memang akan terkesan dan mengalami tekanan kos penjanaan elektrik kerana kedua-dua sumber tenaganya iaitu gas dan arang batu mengalami kenaikan harga yang drastik disebabkan krisis Rusia-Ukraine.

“Namun, oleh kerana perubahan tarif baru sahaja diumumkan baru-baru ini dan perubahan tarif yang seterusnya akan berlaku enam bulan lagi, maka ia akan memastikan rakyat dan peniaga tidak begitu terkesan dari segi penggunaan elektrik. Tetapi ia akan memberi kesan negatif kepada prestasi kewangan TNB,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×