PETALING JAYA: Indeks kos bahan binaan (IKB) bangunan tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi kesemua kategori bangunan di negara ini meningkat antara 0.3 dan 5.8 peratus pada Februari, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kenaikan di Semenanjung Malaysia antara 0.3 hingga 5.2 peratus, manakala di Sabah (0.1 hingga 2.3 peratus) dan Sarawak (0.1 hingga 5.8 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berbanding bulan sebelumnya, IKB tanpa bar keluli bagi semua bangunan di Semenanjung Malaysia meningkat sebanyak 0.3 hingga 1.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.
“Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi ialah Bangunan Konkrit Bertetulang (K.T.) 2−4 Tingkat (Berbumbung Rata) dengan 1.5 peratus di Selangor, Wilayah (WP) Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
“Sementara itu, IKB tanpa bar keluli di Sabah dan Sarawak meningkat di antara 0.1 dan 2.8 peratus bagi hampir semua kategori bangunan. Kategori bangunan dengan peningkatan tertinggi di Sabah dan Sarawak adalah Bangunan (K.T.) 5 Tingkat dan Lebih (Untuk Pejabat) di Kota Kinabalu dan Cerucuk (K.T.) di Sibu,” katanya dalam kenyataan
Mohd. Uzir berkata, IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak meningkat di antara 0.3 dan 5.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.
Kata beliau, kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Malaysia ialah Bangunan (K.T.) 5 Tingkat dan Lebih (Untuk Penginapan) dan Bangunan (K.T.) 5 Tingkat dan Lebih (Untuk Pejabat) di Johor dengan 5.2 peratus, Kota Kinabalu di Sabah dengan 1.7 peratus bagi hampir semua kategori bangunan dan Sibu di Sarawak dengan 5.8 peratus bagi Cerucuk (K.T.).
“Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan mycon 60 high tensile deformed bars meningkat 3.0 peratus berbanding 1.6 peratus pada bulan sebelumnya. Peningkatan tertinggi bagi besi direkodkan di Selangor, WP Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan dan Johor dengan 5.1 peratus, diikuti oleh Sarawak sebanyak 6.7 peratus,” jelas beliau.
Menurut Mohd. Uzir, kenaikan harga bagi kebanyakan bahan binaan seperti besi disebabkan kenaikan kos bahan mentah dengan data Harga Komoditi Bank Dunia menunjukkan harga bijih besi meningkat 7.8 peratus kepada AS$142.84 (RM597.93) per dmtu pada Februari berbanding AS$132.53 (RM554.77)/dmtu bulan sebelumnya.
Selain harga bijih besi, harga bahan logam dan mineral lain seperti aluminium, tembaga, plumbum, timah, nikel dan zink juga menunjukkan trend menaik pada Februari, tambah beliau.
Beliau berkata, mengikut Persatuan Keluli Dunia (WSA), pengeluaran besi mentah dunia bagi 64 negara ialah 155.0 juta tan (mt) pada Januari lalu, penurunan 6.1 peratus berbanding Januari 2021.
“Pada Januari 2022, China dan Jepun antara pengeluar besi terbesar mencatatkan penurunan dalam pengeluaran besi berbanding setahun lalu. China mengeluarkan 81.7 mt keluli, penurunan sebanyak 11.2 peratus, manakala Jepun mengeluarkan 7.8 mt keluli (-2.1%) berbanding Januari 2021. Tambahan pula, pengeluaran besi mentah China terus dihadkan pada tahun 2022 kerana China menyasarkan pengurangan pelepasan karbon,” jelas Mohd. Uzir. – UTUSAN










