
NAMANYA sudah gah. Anak-anak kecil pun tahu namanya. Televisyen, wayang gambar, majalah dan iklan-iklan sudah lama menggunakannya sebagai prop sejak dari 50an lagi. Dalam pasaran tempatan, Harley-Davidson sehingga kini telah diperdagangkan oleh tiga syarikat berasingan, dan entah apa alasan, “servis telah bertukar tangan” beberapa kali. Namun, jenama dari Amerika Syarikat (AS) ini tidak pernah sekali pun pudar daripada ingatan bikers tempatan.
Cruiser, Easy Rider dan Chopper ternyata melambangkan jentera dua roda yang dipopularkan oleh AS dan sekali gus berjaya bukan sahaja menjual motor atau jenteranya, tetapi turut merangkumi penjualan ‘gaya hidup’ Harley-Davidson. Ternyata, pemilikan anda tidak lengkap jika tidak turut memiliki jeket, baju, seluar dan pelbagai lagi pemakaian berjenama Harley-Davidson.
Model sportster mula dikenali ramai sejak 1957, merupakan antara barisan enjin dan jentera Harley yang direka untuk mereka yang menginginkan jentera yang mudah diselenggara dan boleh dipadankan pada kepelbagaian kegunaan. Sebab itulah, model sportster seringkali menjadi pilihan ramai penggunanya sama ada mereka yang baru pertama kali memiliki Harley-Davidson atau golongan wanita yang tidak mahu bermasalah menggunakan jentera-jentera besar Harley seperti Ultra Glide, Soft Tail, Fat Bob dan lain-lain.
Namun begitu, ketika Malaysia baru ‘keluar’ daripada kekangan Perintah Kawalan Pergerakan, Harley-Davidson mengumumkan pelancaran Sportster S 1250. Ayuh kita kupas mengapakah jentera ini tidak serupa dengan tradisi model-model Sportster sebelum ini.

PENAMPILAN JENTERA
Bagi peminat Harley atau motosikal secara amnya, sudah tentu dapat melihat bahawa Sportster S 1250 ini adalah sebuah rekaan yang merangkumi 3 model sekali gus. Jika dilihat daripada bahagian ‘ekor’ dan ekzosnya, ia seperti dipinjam daripada model Dirt Tracker atau Flat tracker. Model ini lebih sinonim dengan model yang terlibat dengan perlumbaan di atas permukaan berpasir (tanpa tar) atau tanah liat.
Sementara di bahagian hadapan, lampu dan suspensi hadapannya lebih mirip pada model Fat Bob yang juga meminjam rupa tradisi daripada 48 customs dan Fat Boy. Lampu LED “Fat Bob” yang berbentuk empat segi panjang dan batang suspensi yang ‘gemuk’ memberi imej ‘jahat’ bila dipandang daripada hadapan.
Tayar hadapan yang sangat lebar juga membawa tradisi model Fourty Eight (48), dan enjin yang dibekalkan adalah enjin yang dikatakan paling mudah diselenggara iaitu model Revolution Max V-berkembar yang juga ‘dikongsi’ dengan model terbaharu Harley-Davidson Pan America iaitu model Dwiguna atau Dual Purpose/Adveture mereka yang pertama di pasaran.
Penampilan Sportster S kali ini jelas menunjukkan bahawa ia bukan lagi motor khas untuk perempuan, dan ternyata kali ini mampu membuat sesiapa sahaja tampak seperti lelaki sejati pilihan ramai. Menggantikan tradisi krom di beberapa bahagian motor dengan warna ‘hitam mati’ atau Matte Black menambahkan lagi ‘macho jentera ini.

PENUNGGANGAN
Motor Cruiser, tidak lain dan tidak bukan, menjanjikan penunggangnya duduk di pelana yang rendah, kedudukan kedua-dua lengan yang mendepa ke hadapan, serta kedua-dua kaki yang di”paksa” melunjur kehadapan.
Kedudukan ini, sebenarnya tidak langsung melambangkan sebarang bentuk keselesaan, walaupun saya agak tinggi bagi saiz orang asia (183cm = 6 kaki), namun kedudukan kaki yang melunjur pasti akan membuat anda terasa lenguh setelah menunggang lebih daripada sejam dan dalam kelajuan yang agak tinggi di lebuhraya. Sayangnya, Sportster S ini tidak didatangkan dengan pemijak kaki yang lebih rapat ke pelana namun begitu, ianya boleh di’custom’ dengan barisan aksesori yang terdapat di bilik pameran Harley.
Begitu juga dengan sistem suspensi belakangnya. Ianya sungguh rendah dan keras sehinggakan saya berhenti di tepi jalan untuk benar-benar memastikan adakah model yang saya tunggang ini mempunyai suspensi belakang atau tidak. Ada ketika Sportster ini melalui jalan berlekuk atau tidak rata, tulang belakang dan buah pinggang saya seolah kini menjadi rakan baik dan kerap bertembung.
Panel meternya walau pun dilihat berbentuk klasik dan bulat, namun ianya adalah sebuah meter paparan TFT dan berwarna serta menampilkan informasi-informasi yang banyak untuk anda sebagai penunggangnya melaraskan sistem elektronik jentera anda.
Lampu hadapan jenis LED sangat terang ketika melalui laluan gelap di tengah malam, serta mencukupi pada kadar limpahan keluasan lampu dan jarak suluhan.
Jika kita ingin berbicara tentang enjinnya, 1,250cc dan menghasilkan 121 kuasa kuda pada tahap rpm 7,500 serta kuasa torknya di tahap 127Nm pada revolusi per minit 9,000, sudah cukup untuk mengujakan sesiapa saja mengenainya. DOHC, 4 injap di setiap silinder serta sistem VVT (variable valve timing) membolehkan enjin ini menarik anda pada RPM yang rendah, malah dikatakan 10 peratus lebih berkuasa daripada model terbaharu H-D iaitu Pan American.

KESIMPULAN
Sportster S ini ternyata mengekalkan perasaan penunggangan Cruiser sejati dari AS. Walaupun saya berulang kali mengadu bahawa model ini sungguh tidak selesa, bakal mendatangkan kesakitan pinggang dan tulang belakang jika menunggang lama. Suspensi yang sungguh rendah, harga jualan yang agak ‘kayangan’, serta kos penyelenggaraan juga mampu membuat orang kebanyakan meneguk air liur. Namun begitu, Harley-Davidson tetap bakal menjadi jentera yang ingin dimiliki oleh semua peminat motosikal tanpa mengira bangsa, status serta taraf hidup.
Pengenalan Sportster S 1250 ini pula bakal menambah lagi kesengsaraan anda untuk tidur malam yang sempurna akibat terbayang-bayang atau termimpi-mimpi imej anda menunggang santai lengkap dengan jeket tanpa lengan jeans, helmet steng seperti kura-kura, serta seluar jeans yang berantai, membelah lebuh raya.
SPESIFIKASI
Kapasiti: 1,250 cc
Kuasa: 121 hp pada 7,500 rpm dan 127 Nm tork pada 9,000 rpm.
DOHC, empat-injap setiap silinder dengan pacuan rantai dan variable valve timing (VVT).
Suspensi : fork terbalik Showa 43 mm larasan penuh (hadapan), monoshock Showa (belakang)
Brek depan: brek hidraulik cakera tunggal, dengan angkup empat-omboh,
Brek belakang: angkup monoblock condong dengan ABS
Saiz roda depan: 17-inci dengan saiz tayar 160/70
Saiz roda belakang: 16-inci dengan saiz tayar 180/70
Ketinggian pelana: 753 mm
Kapasiti tangki minyak: 11.8 liter
Berat: 228 kg. – UTUSAN










