PETALING JAYA: GetBats, syarikat utama di Malaysia untuk pasaran data peniaga, telah mengumumkan kerjasama bersama Ekspo iFood.
Ekspo itu terdiri daripada peniaga kecil, pengeluar pembungkusan, peralatan dapur, dan bahan mentah – memastikan para pelawat mendapat tawaran promosi dan pembekal yang terbaik untuk perniagaan mereka.
Ekspo iFood akan diadakan di Spice Arena Bayan Baru, Pulau Pinang dari 27 hingga 29 Mei dan Exhibition Hall Pavilion, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 1 hingga 3 Julai depan.
“Kerjasama itu akan mempamerkan GetBats mengumpul dan menyatukan data untuk jenama yang terlibat termasuk penganjur sendiri, membolehkan peniaga mengakses data berharga dengan mudah mengenai para pelanggan dan corak perbelanjaan mereka.
“Ekspo iFood yang diadakan sebelum ini berjaya menarik sehingga 60,000 orang dalam masa 3 hari. Keperluan untuk sistem penyatuan data yang berpengalaman adalah kunci untuk memastikan peluang pemasaran selanjutnya – dan GetBats berjaya memenuhi keperluan tersebut sambil menyediakan rangkaian sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengambil bahagian,” katanya dalam kenyataan.
Jelas syarikat itu, data yang dikumpulkan daripada acara itu akan disatukan dan dikongsi oleh GetBats dengan peniaga dan juga penganjur iFood, seterusnya membolehkan peluang pemasaran yang disasarkan dan nilai tambah untuk peniaga yang mengambil bahagian, kerana mereka akan dapat menuar-uarkan promosi ke pangkalan data baharu sebelum pameran akan datang.
Ketua Pegawai Pemasaran GetBats, Alvin Lee berkata, semua syarikat besar industri akan memahami bahawa data adalah lebih daripada sekadar komponen untuk menjalankan perniagaan yang berjaya – data adalah perniagaan.
“Dengan menggabungkan data daripada acara besar seperti iFood, kami yakin kami akan dapat membantu PKS dan peniaga-peniaga yang mengambil bahagian dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka.”
Katanya, banyak syarikat baharu dan PKS bergelut untuk memperoleh pangkalan data yang kukuh kerana kemajuan teknologi lebih unggul daripada kadar pembangunan.
“Disebabkan ini, mereka bergelut untuk mendapatkan cerapan yang mereka perlukan, dengan data yang tersebar di pelbagai platform. Matlamat GetBats adalah untuk menyatukan platform dan menyediakan para peniaga dengan sistem yang bukan sahaja membantu mereka menjalankan perniagaan dengan lebih baik, tetapi menyediakan sistem yang memenuhi keperluan mereka sepenuhnya,” jelas beliau. – UTUSAN










