JOHOR BAHRU: Kulim (Malaysia) Berhad melalui anak syarikatnya Kulim Greenergy Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian pembelian gas dengan Gas Malaysia Berhad yang merupakan anak syarikat milik penuh, Gas Malaysia Virtual Pipeline Sdn. Bhd. (GMVP).
Menerusi perjanjian itu, GMVP akan mendapatkan bio-metana termampat daripada Kulim Greenergy untuk disuntik ke dalam rangkaian Sistem Pengagihan Gas Asli milik Gas Malaysia Berhad.
Bio-Metana Mampat (Bio-CNG) akan dibekalkan daripada kilang minyak sawit milik Kulim (Malaysia) Berhad iaitu Tereh dan Sindora yang terletak di
Kluang, Johor.
Pengerusi GMVP, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan Kulim Greenergy dalam inisiatif hijau berkenaan.
“Malaysia mempunyai potensi menggalakkan dari segi penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan mampan, ini dilengkapkan lagi dengan inisiatif hijau yang semakin berkembang dalam landskap tenaga.
“Kami percaya bahawa masa depan penggunaan tenaga di negara ini terletak pada boleh tenaga boleh diperbaharui dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kulim (Malaysia) Berhad, Mohd. Faris Adli Shukery pula memberitahu, perjanjian itu selari dengan usaha mereka untuk merealisasikan komitmen daripada inisiatif ‘Trash to treasure’ yang diperkenal pihaknya.
“Usaha ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dengan mengubah kos pematuhan terhadap inisiatif hijau kepada satu bentuk pendapatan sampingan baharu,” jelasnya.
Perjanjian itu ditandatangani wakil Gas Malaysia iaitu Pengarah Komersial, Shahrir Shariff manakala Kulim Greenergy diwakili Timbalan Pengurus Besar, Kelestarian & Inovasi Kulim (Malaysia) Berhad, Wan Adlin Wan Mahmood. – UTUSAN










