
LONDON: Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan sekatan dikenakan Barat menyebabkan negara-negara bekas Soviet Union di Asia Tengah berdepan krisis keruntuhan ekonomi.
Negara-negara Asia Tengah terdiri daripada Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, and Uzbekistan.
Sejak Presiden Vladimir Putin melancarkan gerakan ketenteraan pada 24 Februari lalu, mata wang rubel telah susut sebanyak 50 peratus dengan setakat ini tiada sebarang petanda sejauh mana ia akan jatuh.
Rusia bagaimanapun telah melaksanakan kawalan mata wang, mengingatkan kembali langkah yang pernah dilaksanakan pada awal 1990-an, selain mungkin berlaku kegagalan memenuhi tuntutan ke atas pemiutang asing, lapor Wall Steeet Journal (WSJ).
Memetik laporan portal tenaga oilprice.com, ketidakpastian mencengkam Asia Tengah, di mana Rusia adalah rakan dagangan utama dan sumber kiriman wang yang kritikal di rantau itu. Di banyak negara, mata wang tempatan turun naik sama seperti rubel. Ringkasnya, ekonomi Asia Tengah sangat terdedah kepada situasi yang berlaku di Rusia.
Kazakhstan adalah negara pertama bertindak balas terhadap krisis yang berlaku, dengan menaikkan kadar faedah asasnya daripada 10.25 peratus kepada 13.5 peratus hanya beberapa jam selepas perang bermula. Bank Negara Kazakhstan bertindak pantas dengan campur tangan dalam pasaran mata wang, menjual dolar Amerika Syarikat (AS) untuk melindungi mata wang tempatan, tenge.
Nur-Sultan (atau Astana) turut mengumumkan pelan anti-krisis baharu yang menjanjikan campur tangan selanjutnya dalam pasaran tukaran mata wang asing (forex) dan “program perlindungan deposit tenge.”
Kazakhstan bernasib baik kerana memiliki rizab yang banyak. Dana kekayaan negara Samruk-Kazyna, memiliki aset berjumlah kira-kira $65 bilion (RM pada Januari.
Malah, dana minyak negara dilaporkan berjumlah kira-kira $60 bilion.
Namun begitu, tenge dilaporkan telah kehilangan nilai kira-kira 20 peratus berbanding dolar sejak perang bermula, menyamai kejatuhan pada 2015 apabila negara itu menamatkan tambatan ke atas dolar, dalam menghadapi kejatuhan harga minyak global.

Begitu juga Uzbekistan mempunyai kunci kira-kira berdaulat yang agak sihat. Pinjaman telah berkembang dengan ketara sejak Presiden Shavkat Mirziyoyev berkuasa pada 2016, tetapi keberhutangan asing negara itu masih jauh di bawah paras Kazakhstan. Rizab mata wang asing Tashkent berjumlah $34.4 bilion, lebih separuh daripada simpanan emas, atau kira-kira 60 peratus daripada KDNK.
Tetapi tidak seperti Kazakhstan, Uzbekistan telah mengekalkan kadar faedah asasnya tidak berubah pada 14 peratus, setelah mengurangkannya sebanyak 100 mata asas pada September lalu.
Uzbekistan juga mungkin tidak bergantung secara ekonomi kepada kiriman wang seperti Kyrgyzstan atau Tajikistan, tetapi mempunyai lebih ramai migran ekonomi di Rusia berbanding jiran-jirannya.
Pengukuhan dolar berbanding rubel bermakna berjuta-juta pekerja asing Uzbekistan yang memperolehi bayaran gaji dalam rubel di Rusia telah mengambil pengurangan nilai gaji mereka sebanyak 50 peratus kerana perang dilancarkan Putin.
LALUAN D
Sementara itu, Turkmenistan adalah ekonomi Asia Tengah yang paling kurang terjejas oleh perang dan sekatan Barat ke atas Putin. Namun, sekatan yang dikenakan ke atas Rusia akan menyebabkan Moscow menghentikan import gas dari Turkmenistan yang telah diperbaharui pada 2019. Malah, tindakan Moscow mengalihkan perhatian kepada China melalui projek Laluan D, saluran gas Asia-China, akan turut memberi kesan kepada negara itu.
Laluan D juga akan melintasi Tajikistan dan Kyrgyzstan, memberikan mereka bekalan gas dan bayaran untuk transit. Kedua-dua negara ini boleh dikatakan yang paling terdedah kepada kejatuhan ekonomi Rusia yang sedang berlaku.
Kepentingan kiriman wang kepada kedua-dua negara ini tidak boleh diperkecilkan, khususnya bagi Tajikistan di mana ia merupakan satu-satunya sumber tukaran mata wang asing yang ketara di negara itu.
Pada 9 Mac lalu, Dushanbe mengumumkan kadar tukaran baharu bagi mata wang tempatan iaitu 13 somoni setiap dolar, turun daripada 11.3 sebelum ini. Tajikistan tidak mempunyai sebarang rizab antarabangsa yang ketara, dan sangat bergantung kepada hutang luar, khususnya kepada China.
Ia menghadapi masalah hutang dan jika kiriman wang runtuh, akan menambah tekanan ke atas mata wangnya.
Mata wang Kyrgyzstan, som yang telah melemah, turut terkesan dengan pemotongan gaji pekerja asing dalam mata wang tempatan. Setiap rubel yang dihantar pulang oleh rakyatnya yang bekerja di luar akan mengukuhkan sedikit nilai som.
Selain itu, Kyrgyzstan juga terdedah kepada risiko kejatuhan ekonomi seterusnya, kerana ia bergantung kepada import bahan api Rusia yang dibayar dalam dolar, dengan jumlahnya dilaporkan semakin berkurangan disebabkan sekatan Barat.
Kebergantungan itu bagaimanapun dapat dikurangkan oleh penjualan emasnya. Namun, tindakan berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelabur Barat dan rakan kongsi dari China. Malah, pelaburan Rusia dalam sektor itu juga dilihat turut berisiko.
Bagaimanapun, memandangkan belum ada kesan sekatan ekonomi global berlaku secara tiba-tiba di Rusia, adalah terlalu awal untuk meramalkan betapa teruknya penderitaan negara-negara Asia Tengah ini. Namun, satu perkara yang pasti, ekonomi Rusia yang merudum, dibarat `pukulan maut’ buat rantau berkenaan. – AGENSI










