MoU ditandatangani semasa Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Dubai

Ekspo Dubai jana inovasi, pertumbuhan ekonomi digital Islam Malaysia

Majlis pertukaran dokumen kerjasama antara Preya Capital dan National Bonds di Dubai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pemula teknologi Malaysia, Freya Capital Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan National Bonds dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

National Bonds adalah syarikat pegangan saham bersama persendirian di bawah Investment Corporation of Dubai, sebuah cabang pelaburan kerajaan UAE.

MoU ini telah ditandatangani semasa Minggu Ekonomi Digital Malaysia yang berlangsung di Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai dari 9 hingga 15 Januari lalu.

Freya Capital merupakan sebahagian daripada 22 delegasi syarikat teknologi Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia.

Menurut MDEC, objektif perjanjian itu untuk memupuk pertumbuhan ekonomi digital Islam di Malaysia dan Asia Tenggara serta membuka ruang kepada sebarang kerjasama dengan pihak kawal selia, institusi kewangan dan syarikat-syarikat.

“Perjanjian ini juga bertujuan meningkatkan pertumbuhan platform penyelesaian sukuk perdagangan Al Manassah di Malaysia dan Asia Tenggara. Al Manassah ialah alat pelaburan digital milik National Bonds yang boleh disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus institusi kewangan di rantau ini.

“Ia berfungsi untuk menangani jurang dalam produk kewangan patuh Syariah yang selamat dan mesra pengguna dalam lingkungan pasaran kewangan Islam,” katanya dalam kenyataan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Freya Capital, Amelia Tan berkata, kerjasama National Bonds-Freya ini merupakan gabungan yang mantap serta membawa sekali kemahiran yang mendalam dalam strategi perniagaan dan
teknologi.

“Kami yakin bahawa kerjasama ini akan membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia Tenggara dengan meningkatkan dan menambah baik akses kepada kewangan dan
kecekapan pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, kerjasama itu sudah pasti akan menggalakkan inovasi dan pertumbuhan sektor teknologi kewangan Islam di Malaysia dan seterusnya meningkatkan status Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

“Kami tidak sabar untuk melihat bagaimana dua kuasa besar ini akan mengubah ekonomi digital Islam di rantau ini,” katanya.

Mahadhir berkata, ekonomi digital Malaysia bukan sahaja bergantung kepada teknologi yang dihasilkan, malah menerusi kerjasama yang terjalin untuk membawa pengetahuan yang akan dikongsi ke seluruh dunia.

“Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai telah memainkan peranan untuk mewujudkan interaksi bermakna yang akan membawa keterangkuman dan kemakmuran bersama kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN