PETALING JAYA: Pertumbuhan sosioekonomi Terengganu dijangka kekal kukuh dan berdaya tahan berikutan usaha bersepadu Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bersama-sama kerajaan negeri Terengganu untuk melaksanakan projek berimpak tinggi.
Menurut kenyataan, ECERC menyasarkan pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal mewujudkan lebih 2,800 pekerjaan baharu dan 250 peluang keusahawanan di Terengganu serta RM2 bilion pelaburan yang akan direalisasikan tahun ini.
“Bagi merealisasikan sasaran tersebut, ECERDC akan mempromosikan Terengganu secara agresif sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif melalui misi pelaburan, webinar pelaburan serta penglibatan dengan pihak berkepentingan, selain sasaran pelaburan dalam pengeluaran keluli, tenaga, hartanah dan logistik,” katanya.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu di Dungun, Terengganu memuji usaha ECERDC dalam menarik pelaburan berkata, dengan strategi ekonomi yang tepat dan pembangunan infrastruktur pengupaya, Terengganu sememangnya sebuah destinasi pelaburan yang menarik.
Dalam mesyuarat ICC, Ahmad Samsuri dan ahli-ahli mesyuarat ICC turut dimaklumkan mengenai perkembangan projek ECERDC di Terengganu dan dibawa melawat program empower ECER-Mekar di Dungun selepas mesyuarat ICC diadakan di mana mereka menyaksikan program keusahawan yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Petronas.
Antara kursus yang dijalankan termasuk Digitalpreneur (i-Trader), Tailorpreneur, Spa dan Kecantikan dan Bakeri & Pastri.
Tambah kenyataan, tahun ini, ECERDC menyasarkan untuk melatih seramai 1,200 pelajar di 30 buah sekolah di bawah Program Latihan Akademik empower ECER manakala program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER pula akan melatih 450 peserta di Terengganu.
“Dengan kejayaan program perintis Aplikasi Web ACES I4.0 yang dijalankan tahun lepas, Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) yang ditubuhkan oleh ECERDC mengorak langkah ke hadapan dan melatih peserta yang berminat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di bawah program ACES-ECERJobs Train & Place.
“Program ini menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 800 pesertadi ECER dilatih dengan sasaran kadar penempatan pekerjaan sebanyak 80 peratus.
“Sehingga kini, sebanyak145 peserta dari Terengganu telah dilatih dan berjaya bekerja dalam industri ICT,” ujarnya.
Pada masa sama, ECERDC kekal focus dalam menyokong Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) melalui program PENJANA-ECERDC bagi memastikan kebolehpasaran tenaga kerja ECER yang terjejas akibat pandemik baru-baru ini.
Sehingga kini, 4,218 peserta telah dilatih di Terengganu dan 91 peratus telah memperolehi pekerjaan dengan purata pendapatan bulanan sebanyak RM2,300 dan tahun ini, lebih 400 peserta lagi dijangka akan dilatih di bawah program yang sama. – UTUSAN










