DAKN 2030 garis hala tuju pembangunan industri agrikomoditi negara

DAKN 2030 penggerak sektor agrikomoditi

ZURAIDA Kamaruddin melancarkan DAKN 2030 di Putajaya, semalam. - – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) yang dilancarkan semalam, menggariskan hala tuju pembangunan industri agrikomoditi negara merangkumi lapan komoditi negara iaitu kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf, biojisim dan biobahan api.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, DAKN 2030 merupakan kesinambungan kepada Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Januari lalu.

Katanya, penggubalan dan hala tuju DAKN 2030 berteraskan Agenda Nasional seperti Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN3).

“DAKN 2030 digubal bagi memastikan sektor ini terus dipacu dan memberi sumbangan secara berterusan kepada negara melalui Keluaran Dalam Negeri Kasar Negara (KDNK) dan pendapatan eksport negara.

“Pada masa sama, DAKN 2030 dijangka dapat membangunkan rakyat dengan pengurangan jurang pendapatan dan kadar kemiskinan, terutamanya bagi masyarakat luar bandar,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran DAKN 2030 di sini semalam.

Zuraida berkata, sumbangan sektor agrikomoditi kepada pembangunan sosio ekonomi rakyat sejak sedekad yang lalu terbukti apabila telah menjana sumber pendapatan kepada hampir 1.3 juta pekebun kecil dan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta rakyat tempatan.

Beliau berkata, DAKN 2030 merangkumi lima teras utama iaitu kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman dengan 14 indikator dan sasaran keseluruhan.

“Lapan komoditi dan empat keutamaan rentas sektor pula mengandungi 130 strategi serta 112 indikator dan sasaran.

“DAKN 2030 juga menyenaraikan 11 program flagship dan memberi tumpuan untuk menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan agrikomoditi dan mempertingkatkan penerimagunaan ekonomi kitaran,” katanya.

Sumbangan sektor agrikomoditi kepada KDNK negara juga tidak dapat dinafikan dengan nilai sumbangan yang menunjukkan peningkatan daripada RM76.2 bilion pada tahun 2010 kepada RM84.3 bilion pada tahun 2021.

Katanya, peningkatan sebanyak 6.1 peratus merupakan satu permulaan yang baik dalam usaha kerajaan untuk memastikan nasib pekebun kecil dan pemain industri dalam sektor ini terus terbela

“Sektor agrikomoditi mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM270.2 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 39.7 peratus berbanding tahun 2020, manakala, imbangan dagangan adalah sebanyak RM148.8 bilion,” katanya

Tambah beliau, pendapatan eksport adalah sebanyak RM209.5 bilion atau 16.9 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

“Sawit dan getah merupakan penyumbang utama dalam peningkatan nilai eksport agrikomoditi. Sawit meningkat sebanyak 48.0 peratus kepada RM108.5 bilion manakala getah meningkat sebanyak 44.3 peratus kepada RM71.0 bilion berbanding tahun 2020,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN