PETALING JAYA: Bilangan penganggur terus menurun kepada 680,400 orang mencatatkan kadar pengangguran 4.2 peratus pada Januari 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh semakin baik pada Januari 2022 didorong oleh peningkatan berterusan dalam guna tenaga manakala penganggur dalam trend menurun.
Beliau berkata, bilangan penganggur terus berkurang pada Januari 2022 kepada 680,400 orang, turun 1.1 peratus berbanding Disember 2021 sebanyak 687,600 orang.
Bagaimanapun katanya, kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 4.2 peratus.
“Manakala, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 15.69 juta orang (Disember 2021: 15.65 juta orang), mencatatkan nisbah guna tenaga kepada penduduk yang lebih
tinggi iaitu 66.2 peratus pada Januari 2022.
“Justeru, tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 peratus mencatatkan 16.37 juta orang (Disember 2021: 16.34 juta orang), seterusnya membawa kepada peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh Januari kepada 69.1 peratus (Disember 2021: 69 peratus).
“Situasi ini mencerminkan aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada Januari 2022 berikutan kesemua negeri telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan perniagaan terus beroperasi pada kapasiti penuh dengan waktu perniagaan yang lebih panjang,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, daripada jumlah penganggur pada Januari, 83.7 peratus adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, mencatatkan penurunan sebanyak 1.2 peratus kepada 569,500 orang (Disember 2021: 576,500 orang).
Katanya, sebanyak 56.3 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan manakala 7.5 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
“Bagi penganggur yang tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia, berkurang sebanyak 0.2 peratus merekodkan 110,900 orang (Disember 2021: 111,100 orang),” jelasnya.
Pada masa yang sama, tambah Mohd. Uzir, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.5 mata peratus merekodkan 13.2 peratus pada Januari 2022.
“Bilangan penganggur belia bagi kumpulan umur ini menurun sebanyak 0.9 peratus kepada 364,500 orang (Disember 2021: 367,700 orang).
“Trend yang sama turut dilihat dalam kadar pengangguran bagi umur 15 hingga 30 tahun yang berkurang kepada 8.3 peratus, mencatatkan seramai 521,800 orang penganggur (Disember 2021: 8.5 peratus; 533,800 orang),” tambah beliau. – UTUSAN










