PETALING JAYA: Malaysia tidak gagal dalam menangani isu buruh paksa di negara ini kerana kerajaan telah mengambil tindakan membanteras penderaan buruh melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), tegas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
“Kita belum gagal lagi. Kita ambil tindakan. Yang terbaharu, kita dah laksanakan FWCMS di bawah Kementerian Sumber Manusia.
“Dengan FWCMS, kita dapat maklumat tentang pekerja sebaik sahaja mereka memasuki sistem FWCMS. Kita boleh tahu bila mereka akan tiba di Malaysia.
“Kita akan pastikan isu manipulasi dan penderaan buruh akan dibanteras,” katanya kepada pemberita pada Konvensyen dan Ekspo Industri Getah Antarabangsa (IRICE) 2022, di sini semalam.
Beliau berkata, Malaysia akan memaklumkan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang negara telah meningkatkan sistemnya untuk menghapuskan buruh paksa.
“Sistem kita tidak boleh ditipu jadi kita harap tiada lagi dakwaan buruh paksa di negara ini,” ujarnya.
Terdahulu, Zuraida berkata, eksport getah dan produk getah dijangka meningkat kepada RM140 bilion tahun ini berbanding RM71 bilion tahun lalu dan RM49.2 bilion pada 2020.
Beliau berkata, antara yang ketara adalah eksport tayar Malaysia yang meningkat 30.5 peratus kepada RM1.7 bilion pada 2021 berbanding RM1.3 bilion pada 2020.
“Selain itu, barangan getah perindustrian termasuk barangan yang digunakan dalam automotif, perlombongan dan pembinaan menunjukkan pertumbuhan 40 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Zuraida menegaskan, terdapat potensi besar untuk industri itu berkembang dari segi penambahan nilai, penjanaan pekerjaan, kemajuan teknologi, peningkatan kualiti, nilai eksport dan sebagainya.
“Antara sebab utama pertumbuhan luar biasa industri getah kita ialah pertumbuhan pelengkap pelbagai bahagian rantaian nilai, terutamanya sektor pengeluaran dan penggunaan.
“Sepanjang tahun ini, industri getah Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada sokongan kerajaan terutamanya dalam penyelidikan dan pembangunan.
“Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga telah membangunkan produk berasaskan getah asli yang mesra alam, mampan dan mempunyai jejak karbon rendah,” ujarnya.
Justeru, ujar beliau, sudah tiba masanya Malaysia menonjolkan produk tempatan kepada dunia.
“Kita mesti memastikan industri getah Malaysia mematuhi piawaian tadbir urus dan etika tertinggi, menyokong amalan perniagaan mesra alam dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju komoditi pertanian yang berdaya saing dengan produk komoditi pertanian bernilai tinggi dan jangka panjang di persada antarabangsa,” jelasnya.
Zuraida turut menggesa semua untuk memanfaatkan IRICE 2022 sebagai tempat pertemuan antarabangsa bagi industri getah dan mengambil peluang untuk bertukar pengetahuan serta berhubung dengan profesional industri getah yang penting. – UTUSAN










