PETALING JAYA: Subsidiari milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Vantage RE Ltd. (Vantage RE) telah melengkapkan proses pembiayaan £275 juta (AS$371.98 juta) atau kira-kira RM1.56 bilion menerusi pembiayaan semula portfolio ladang tenaga solar Vintage Solar UK (VSUK) di United Kingdom (UK).
Portfolio solar 365 MW itu terdiri daripada 24 solar PV dipasang di atas tanah di serata England dan Wales, menjadi penyumbang penting kepada bekalan tenaga bersih UK.
Menurut anggaran Macquarie Green Investment Group, portfolio itu menghasilkan elektrik setiap tahun untuk menjana tenaga yang bersamaan untuk lebih 90,000 kediaman sementara membantu mengelakkan 3,300 kilotan pelepasan karbon dioksida sepanjang jangka hayat portfolio terbabit.
Kemudahan pembiayaan dengan Macquarie Asset Management, yang diatur oleh Standard Chartered Bank, adalah sebahagian daripada inisiatif pengurusan Vantage RE bagi mengoptimumkan struktur pembiayaan VSUK dan menyediakan ketentuan pelaburan lebih besar untuk tempoh jangka panjang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pembiayaan tersebut membuktikan portfolio itu mampu memenuhi jangkaan peminjam mengenai pematuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menerusi prestasi portfolio yang dikaitkan dengan taxonomy Kesatuan Eropah untuk kegiatan lestari.
“Kegiatan itu mengukuhkan perjalanan TNB untuk mencapai wawasan ESG global,” katanya dalam satu kenyataan.
Pembiayaan tersebut adalah satu lagi sumbangan bernilai disediakan oleh Vantage RE kepada portfolio solar di bawah pengurusannya.
Sejak mengambil alih kawalan pengurusan portfolio VSUK tahun lepas, prestasi faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) portfolio telah bertambah baik sebanyak 28 peratus daripada £30.3 juta (AS$40.99 juta) (RM171.73 juta) pada 2020 kepada £38.7 juta (AS$52.35 juta) (RM219.33 juta) pada 2021.
TNB yakin di bawah pengurusan Vantage, portfolio VSUK akan terus berkembang dari segi nilai dan terus memberikan pulangan yang munasabah kepada para pelaburnya. – UTUSAN










