PETALING JAYA: Untung bersih Telekom Malaysia Berhad (TM) lebih rendah sebanyak RM895.21 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM1.02 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, menurut TM, pendapatan Kumpulan meningkat kepada RM11.53 bilion daripada RM10.84 bilion.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, keuntungan bersih Kumpulan itu susut kepada RM79.94 juta berbanding RM259.44 juta pada tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM3.15 bilion daripada RM3.0 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, penurunan untung bersih itu disebabkan oleh kemerosotan nilai aset mudah alih Kumpulan sebanyak RM122 juta, susut nilai yang dipercepatkan oleh Kumpulan pada suku semasa serta peruntukan yang diiktiraf untuk pemulihan perkhidmatan dan rangkaian yang terjejas akibat banjir pada akhir tahun.
“Selain itu, penurunan itu turut didorong oleh penurunan terjemahan pertukaran asing sebanyak RM37.9 juta yang lebih rendah daripada pinjaman dan pembayaran Cukai Makmur sebanyak 33 peratus ke atas liabiliti cukai tertunda Kumpulan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya.
Namun, ujarnya, Kumpulan telah berjaya merekodkan keputusan kewangan yang sihat bagi tahun kewangan 2021 walaupun masih wujud kesan berpanjangan berikutan pandemic yang telah menjejaskan ekonomi dan sektor perniagaan.
Menurutnya, kenaikan pendapatan 6.4 peratus telah didorong oleh pertumbuhan yang kukuh dalam hasil Unifi serta pelanggan jalur lebar tetap termasuk pertumbuhan yang ketara dalam perniagaan TM Wholesale yang mencatatkan permintaan data semakin bertambah daripada hyperscalers serta penyedia perkhidmatan antarabangsa dan domestik.
“Keseluruhannya, hasil Unifi melonjak 1.3 peratus selepas didorong oleh peningkatan jalur lebar tetap, dengan 2.78 juta pelanggan berdaftar secara kumulatif, jumlah tertinggi pelanggan Unifi dan jalur lebar tetap yang didaftarkan serta bilangan port tertinggi yang dipasang.
“Perbelanjaan modal (Capex) bagi tahun ini iaitu sebanyak RM1.70 bilion atau 14.7 peratus daripada pendapatan, mencerminkan komitmen TM untuk melabur semula dalam pengembangan perniagaan, bidang pertumbuhan baharu selain memberikan pengalaman dan perkhidmatan yang unggul kepada asas pelanggan yang semakin bertambah.
Dividen interim akhir sebanyak 6.0 sen sesaham telah diisytiharkan, menjadikan jumlah dividen kepada 13 sen sesaham untuk tahun kewangan 2021. – UTUSAN









