PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) terus menunjukkan prestasi positif dengan melaporkan peningkatan keuntungan bersih hampir tiga kali ganda iaitu sebanyak RM101.6 juta berbanding RM 27.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 2021 (TK2021) berbanding RM27.5 juta tahun kewangan 2020 (TK2020).
Pendapatan Kumpulan THP meningkat 37.1 peratus kepada RM760.8 juta daripada RM555.1 juta tahun sebelumnya.
THP juga menunjukkan peningkatan dari segi operasi, dengan mencatat keuntungan kasar sebanyak RM252.8 juta (TK2021), lebih tinggi berbanding RM 177.2 juta dari TK2020.
“Prestasi baik ini di sokong oleh purata harga realisasi yang lebih tinggi bagi Minyak Sawit Mentah (MSM) dan Isirung Sawit (PK) walaupun pengeluaran berkurangan sedikit serta persekitaran operasi yang sangat mencabar dengan kekurangan pekerja buruh yang meruncing,” kata THP dalam kenyataan.
Menurut THP, keputusan kewangan suku keempat (4QFY2021) Kumpulan THP bagi tahun berakhir 31 Disember 2021, merekodkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak RM9.6 juta setelah mengambil kira kesan perubahan dalam anggaran berhubung perakaunan aset biologi, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM3.2 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Jelasnya, keuntungan suku keempat disokong oleh pengeluaran dan purata harga realisasi produk sawit yang lebih tinggi.
“Pendapatan bagi suku keempat meningkat 71.3 peratus kepada RM247.5 juta, berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya,” katanya.
THP berkata, pelan pemulihan strategik Kumpulan masih diteruskan dengan penekanan kepada usaha transformasi untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan merangkumi usaha kemampanan, penanaman semula dan mekanisasi operasi yang kekal sebagai kunci untuk memastikan THP berada dalam kedudukan operasi dan kewangan yang lebih baik.
THP katanya, menjangkakan harga pasaran semasa bagi produk sawit kekal menggalakkan dan kukuh sepanjang suku berikutnya disebabkan tahap inventori keseluruhan minyak sawit yang ketat di Malaysia, keadaan cuaca yang tidak menentu serta ketetapan baharu mengenai eksport dan import MSM oleh negara lain. – UTUSAN










